Tuesday, July 6, 2010

Pelajar sekolah dilacurkan

Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my

SALAH satu lorong belakang sebuah rumah kedai yang menjadi lokasi pelacuran di Jalan Tun Ali, Melaka.

MELAKA - Banyak sindiket pelacuran yang dibongkar oleh polis lazimnya melibatkan wanita warga China, Thailand dan Filipina tetapi di negeri ini lain pula ceritanya apabila pihak berkuasa menumpaskan sindiket persundalan membabitkan pelajar sekolah menengah.

Difahamkan, pelacur muda berusia belasan tahun tersebut dipaksa melayan sekurang-kurangnya seorang lelaki sehari dengan bayaran antara RM60 dan RM80.

Ketiga-tiga pelacur berkenaan merupakan remaja yang lari dari rumah sejak dua bulan lalu dan tinggal bersama seorang ibu ayam di sebuah rumah di Duyong di sini.

Dua daripada mereka tidak lagi menghadirkan diri ke sekolah manakala seorang lagi telah berhenti belajar beberapa tahun lalu.

Sejak beroperasi dua bulan lalu, mereka dipercayai telah melayan tidak kurang 130 lelaki.

Bagaimanapun, kelicikan sindiket itu tiba ke penghujungnya kelmarin apabila polis negeri ini menahan tiga pelacur berkenaan, seorang ibu ayam dan dua pembantunya yang mana salah seorang daripada mereka merupakan anggota tentera berusia dalam lingkungan 20-an.

Peranan anggota tentera tersebut ialah membantu ibu ayam berkenaan mencari pelanggan dan menghantar pelacur-pelacur itu ke dua buah hotel murah di Jalan Tun Ali di sini untuk melakukan hubungan seks.

Kesemua mereka ditahan pada pukul 3 petang di sebuah rumah di Duyong di sini selepas polis mendapat maklumat daripada seorang remaja yang mendakwa dipaksa oleh ibu ayam itu untuk melacur.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0707&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Memang bukan perkara baru. Tapi berita seumpama ini selalu menyentuh hati dan perasaan. Apakah sudah cukup keprihatinan kita dalam menangani gejala sosial? Apakah lagi yang mesti kita lakukan?

para pemberita yang melaporkan... adakah sekadar cukup dengan hanya menulis di dada akhbar? Tidak terfikirkah untuk mengorak selangkah lagi untuk sama-sama membantu mengurangkan gejala sosial yang tenat ini???

Saturday, May 15, 2010

HARI GURU

Tiap kali datang hari guru mesti teringat guru2 sejak dari darjah satu. Walaupun telah berdekad berlalu, saya masih terbayang hari pertama persekolahan. Wajah arawah bapa di tingkap melihat saya di meja paling hadapan di dalam kelas.

Cikgu Marziah. Beliau mengajar saya mengenali huruf. Dan setelah pandai membaca, habis saya geledah buku-buku di rumah yang memang tidak banyak. Paling seronok dibaca ialah buku Ilmu Alam (Geografi) dan Tawarikh (Sejarah) kepunyaan kakak dan abang. Buku-buku seperti ini saya baca berkali-kali kerana tidak ada buku lain di rumah kami almaklumlah kami bukan orang senang. Arwah bapa hanya seorang buruh manakala emak pula suri rumah. Saya tidak pernah ingat Cikgu Marziah marah kepada kami walaupun ada yang nakal di waktu itu. Cuma wajah tegas tapi penuh belas kasihan. Saya tidak akan dapat melupakan Cikgu Marziah kerana dia yang telah menunjukkan dunia yang terlalu luas untuk saya teroka ... hanya dengan membaca.

Puan Kamariah, guru besar Sekolah Rendah Jalan Padang Tembak II. Jalan Padang Tembak kini dikenali sebagai Jalan Semarak. She's the BEST GURUBESAR. Wajahnya putih bersih, rambut bersanggul rapi, cermin mata bingkai warna emas, dan lipstik merah. Saya sangat senang melihat wajahnya walaupun ada kala sebagai murid sekolah rendah ada rasa takut bila berdepan dengan guru besar. Masih terbayang suara tegasnya menegur dan memarahi rakan-rakan yang nakal. Namun, rakan-rakan yang nakal ni tidak pernah takut kepada Puan Kamariah... malahan mereka sangat menghormati dia. Saya rasa tidak pernah mendengar rakan-rakan mengatakan benci atau tidak suka kepada beliau. Puan Kamariah mengenali saya, abang, kakak dan adik-adik saya. Dan saya percaya dia juga mengenali sebahagian besar anak-anak murid yang lain. Sungguh saya kagum dengan Puan Kamariah.

Terima kasih, cikgu....

Thursday, February 4, 2010

salah siapa

Banyak gerai yang menjual pelbagai barang tumbuh macam cendawan di sekitar taman perumahan baik di kawasan bandar mahupun luar bandar. Kebanyakannya gerai makanan, minuman dan buah-buahan. Ada antara mereka yang “terpaksa” menukar haluan hidup kepada bidang perniagaan kecil-kecilan setelah hilang pekerjaan akibat cuaca ekonomi yang tidak tentu. Ada yang memang sudah berniaga dalam skil yang kecil begitu selama bertahun-tahun lamanya. Sebenarnya ada antara mereka ini boleh dikatakan berjaya juga. Contohnya mereka mampu membeli kenderaan yang diubahsuai untuk tujuan perniagaan. Biasanya lori kecil bersaiz setengah tan.

Namun keadaan gerai-gerai seperti ini sebenarnya mendatangkan masalah. Kakilima tempat mereka berniaga sebenarnya adalah kawasan “larangan”. Ini kerana kedudukan gerai boleh menganggu lalulintas apabila banyak kenderaan yang berhenti. Juga ia menyebabkan keadaan yang tidak selamat kepada aliran trafik. Akibatnya mereka ini sering disaman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, keadaan ini mendatangkan pemandangan tidak indah apabila keadaan gerai ada yang agak daif atau tidak kemas atau tidak bersih. Tempat membuang sampah yang tidak sempurna memburukkan lagi keadaan. Ketika lalu di hadapan mereka ini terasa seperti bukan berada di sebuah bandaraya. Ada kala terasa seperti tidak berada di negara Malaysia yang kita katakan “gah” di mata dunia. Ada kala terasa seperti berada di negara dunia ketiga.

Kenapa mereka ini masih terus berjuang mencari rezeki di kakilima jalan sedangkan banyak bangunan-bangunan rumah kedai didirikan? Malah ada antara gerai-gerai ini terletak di hadapan restoren di premis rumah kedai. Kenapa mereka ini tidak dapat berniaga di premis kedai dalam keadaan yang lebih sempurna? Kenapa mereka ini sanggup menghadapi risiko disaman dan dirampas “harta” perniagaan yang tidak seberapa?

Jawapannya amat mudah, mereka tidak mampu untuk menyewa apatah lagi membeli premis yang sempurna untuk perniagaan mereka. Sebagai menangani masalah ini, ada kerajaan negeri atau PBT yang membina tapak-tapak gerai untuk menempatkan mereka dan mengenakan kadar sewa yang rendah. Tetapi ada yang mengambil kesempatan pula bila diberi peluang yang begini. Ada yang telah diluluskan permohonan mereka untuk berniaga di tapak-tapak perniagaan begini, tetapi kemudian disewakan pula kepada orang lain dengan kadar yang lebih tinggi daripada yang dibayar kepada PBT atau kerajaan negeri. Mereka sekarang bergelar tuan kedai pula dan mengambil untung “atas angin”. Selain itu keadaan tapak-tapak perniagaan seperti ini kurang atau tiada seliaan langsung dan akibatnya setelah beberapa tahun keadaannya juga menjadi uzur dan menyebabkan pemandangan yang “tidak indah” kembali semula.

Apabila keadaan begini tidak pernah berubah selama berpuluh tahun, sudah tiba masanya kerajaan negeri bersama dengan PBT membuat perubahan di dalam menangani masalah ini. Membina tapak-tapak perniagaan untuk penggerai tidak patut dilakukan lagi memandangkan akan mengganggu pelan asal kawasan pekan atau bandar. Daripada membina bangunan atau premis lain, sebaiknya pihak berkuasa membeli sahaja rumah-rumah kedai yang telah siap dibina tetapi masih belum laku atau yang masih tidak beroperasi dan kemudian menyewakan kepada pengerai-penggerai ini. Mungkin sebuah unit kedai dikongsi oleh beberapa penggerai.Contohnya, sebuah unit kedai boleh menjadi seperti satu “mini food court” dengan jualan seperti nasi campur, nasi ayam, minuman, buah-buahan, burger, kuih-muih dan sebagainya. Sebenarnya masih terlalu banyak rumah-rumah kedai yang kosong walaupun di sekelilingnya taman-taman perumahan yang sudah penuh berpenghuni.

Namun perlaksanaannya mestilah lebih teliti dan dirancang dengan strategik. Masalah-masalah seperti bil air, elektrik dan selenggaraan mesti menjadi sebahagian dari perancangan strategik. Kawalan mesti dilakukan sepanjang masa untuk memastikan kebersihan dan “keindahan” kedai.

Jika ini dapat dilakukan dengan sistematik dan strategik, mungkin keadaan gerai-gerai yang melata yang ada kala menyakitkan mata memandang dapat dikurangkan ataupun dihapuskan sama sekali. Ini merupakan cabaran kepada kerajaan negeri dan PBT.

Monday, February 1, 2010

SETINGGAN DI MASJID NEGARA

Sedih bila membaca tentang ini. Pastinya mereka ini menghadapi kesusahan sehinggakan tidak mampu untuk menyewa rumah. Seperti yang terdapat di dada akhbar hari ini, ada yang telah diberhentikan kerja kerana penyakit, dan ada yang gajinya hanya cukup makan dan minum makanya tidak mampu untuk menyewa bilik di tengah kota yang serba mahal ini.

Tapi lebih menyedihkan lagi apabila persoalan ini ditolak ke tepi dan ke tengah. DBKL mengatakan ianya masalah JAWI. JAWI? Bukankah Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah pihak yang lebih tepat? Menyedihkan juga apabila JKM langsung tidak memberikan respon. Dari aspek ini rasanya lebih bertuah si penagih dadah sebab Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersedia untuk menahan penagih dadah yang bermalam di Masjid Negara. Jika ditahan sudah tentu ada tempat tinggal dan sumber makan dan minum walaupun hanya di pusat serenti.

Tapi kesedihan yang mengatasi segalanya ialah apabila pihak Masjid Negara langsung tidak memberikan tindakbalas atas masalah ini. Sepatutnya di sinilah masjid boleh memainkan peranan di dalam menghadapi masalah kemiskinan begini. Apalah salahnya jika pengurusan masjid mengumpulkan mereka ini dan menyelami masalah mereka. Gunakan dana masjid ataupun membuat kutipan dana untuk tujuan ini sahaja. Kita sebenarnya boleh mengambil contoh gereja-gereja di luar negara (dan mungkin juga dalam negara) dan juga beberapa buah masjid di Amerika Syarikat, di mana mereka menyediakan perlindungan untuk mereka yang “homeless” ini. Pada hari-hari tertentu, pihak gereja atau masjid ini akan menyediakan makanan untuk mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak berlapar untuk beberapa hari dalam seminggu.

Sebenarnya banyak yang boleh dilakukan oleh pihak masjid. Inilah salah satu cara masjid memainkan peranan sebagai “pelindung” terutama kepada umat Islam sendiri. Mungkin pihak masjid dapat menyediakan tempat tidur yang “ala kadar” supaya pemandangan “indah” masjid tidak dicemari.Apalah guna keindahan kalau hanya untuk ditatapi bukan dikecapi. Apalah guna keindahan kalau tidak semua lapisan masyarakat dapat menikmatinya terutama sekali umat Islam itu sendiri. Jika tidak mampu untuk menanganinya, pihak masjid perlu menyalurkan masalah ini kepada pihak yang tertentu bukan mendiamkan diri dengan masalah yang di depan mata.

Saturday, December 19, 2009

Tudung oh tudung

Sebagai memenuhi perintah Allah ramai dari kaum wanita bertudung. Rasanya semua maklum dari mana datangnya perintah ini. Kalau sudah wajib seperti yang dikalam oleh Allah, maka tanpa soal jawab, wajib kita mematuhinya. Maka berduyun-duyunlah kaum perempuan meletakkan sehelai kain menutup rambut mereka. Namun masih ada lagi yang berduyun-duyun yang masih belum lagi. Ada yang kata, tunggu seru. Ada yang kata, tutup rambut tapi hati busuk nak buat apa. Dan macam-macam lagilah. Apapun sendirilah yang menilai diri. Jangan pula kita menilai orang lain hanya kerana tidak bertudung ataupun bertudung.


Dua hari lepas, berjalan-jalan dengan yang tersayang setelah kepala dan otak berasap-asap di pejabat. Kami ditemani dua orang putera dan puteri kami. Yang sulung tinggal di rumah. Ketika menunggu makanan siap di food court, adalah seorang wanita yang juga menunggu seperti kami. Bertudung tetapi hampir keseluruhan lengannya terdedah. Walaupun bukan pertama kali aku nampak wanita berpakaian begini, tapi mata ni masih sakit melihat mereka berpakaian begitu. Kenapalah pendek sangat jangkauan akal kita. Jika sudah firman Allah untuk melabuhkan hijab menutupi dada, bermakna tutuplah semuanya kecuali muka dan tapak tangan seperti yang kita belajar di sekolah. Sempat aku membebel dan didengari puteri kami. Katanya, ibu tulislah kat blog ibu. Aku senyum.

Aku terasa sangat tersinggung. Terasa seperti dia mempermain-mainkan hukum Allah. Apakah kerana tidak faham? Entahlah.

Pernah dulu seorang teman memakai pakaian "midi", baju paras lutut tetapi bertudung. Teman tionghua ku berkata, you also can wear your baju kurung without the kain! Ha ha ha begitulah sangkaan teman-teman kita yang bukan beragama Islam. Jadi, andainya mereka itu tidak faham tentang amalan kita, janganlah kita salahkan mereka. Kerana kita sendiri tidak mempamirkan amalan yang sebenarnya.

Sekarang ini musim cuti sekolah maka banyaklah majlis perkahwinan sana sini. Aku perhatikan sudah menjadi trend terutama di kalangan artis dan orang-orang kenamaan yang mengadakan resepsi 3, 4 kali. Di upacara pernikahan sungguh cantik, manis, ayu, bertudung litup. Di majlis resepsi? Ada yang mendedahkan dada lagi. Sungguh aku sendiri akan merasa tersinggung. Terasa seperti amalanku menutup aurat dipermain-mainkan kemurniannya. Kenapalah begini buta saudara seagamaku?

Sebagai seorang wanita, apabila kita berpakaian kita mahu cantik. Kalau kita rasa dengan menutup kepala dan mendedahkan lengan dan kaki itu cantik, cubalah bayangkan diri sendiri bertudung dan menutup lengan dan kaki. Aku pasti sudah tentu kita dapat lihat diri kita ini lebih cantik. Sekarang ini pelbagai fesyen pakaian ada. Pilihlah yang tercantik untuk agama dan diri kita sendiri.

Jadi aku ingin nak menyeru kepada yang terbaca coretan ini (dan terutama sekali untuk diriku sendiri), berilah peringatan kepada adik, kakak, isteri, ibu, makcik, dan teman, sehelai kain hijab walaupun kecil dan ringan, ianya adalah murni dan suci. Ia mesti dilakukan dengan sempurna. Carilah jalan supaya amalan yang walaupun kecil tetapi diwajibkan atas kita, dapat kita jalankan dengan sepenuh hati, dan dengan sebaiknya.

Maaf jika ada yang tersinggung. Tapi ini salah satu cara aku "menegur".

Monday, October 26, 2009

Meor "Sembang Tepi Jalan"

24 Oktober 2009
Ke majlis pelancaran buku Meor “Sembang Tepi jalan” di Annexe Pasar Seni. Ke sana menaikki komuter dari Subang Jaya dihantar ke stesen oleh yang tersayang. Sudah hampir 2 tahun kembali ke tanahair, inilah kali pertama menaikki public transport.

Memang nasib kurang baik. Ada sesuatu berlaku di Kelang menyebabkan perjalanan komuter tergendala. Keretapi yang dijadual 2.16 tiba 30 minit kemudian. Aku habiskan masa membaca Reader’s Digest sambil berdiri. Tiada bangku dan kerusi yang kosong. Habislah juga membaca beberapa buah artikel yang agak menarik. Antaranya artikel tentang kesihatan; tentang sifat seseorang yang boleh ditelah melalui lagu-lagu yang digemari; dan sebuah artikel tentang jamban kampung ditahun 70an dulu. Ha ha ha percaya atau tidak ini yang paling menarik.

Keretapi sampai hampir 2.50. Majlis sepatutnya bermula 3 ptg. Keadaan dalam keretapi sudah tentu sesak akibat jadual yang tertunggak. Tiba di KL Central kira-kira 25 minit kemudian. Ha ha ha pertama kali jejak kaki di sini. Tentu ada yang tak percaya. Aku yang dibesarkan di KL dahulu masih banyak pelusuk KL yang belum aku jelajahi.

Tidak mahu membuang masa, aku cari kaunter informasi. Memang agak jelas terbayang perasaan pelik di wajahnya apabila aku bertanya, kat mana nak ambil LRT? Akak nak pegi central market. Mungkin terlintas di hatinya, dari mana agaknya perempuan ini datang? Nak ambil LRT pun tak tau. Ah lantaklah asalkan masaku tak terbuang.

Beli tiket. Alahai rupanya hanya satu stesen dari KL Central. Itu pun aku tak tahu he he he.... Di CM dah jumpa annexe, kenapa sepi? Terdetik pertanyaan di hati. Aku bayangkan kemeriahan dengan signage atau tunjuk arah atau notis. Dan seperti biasa aku panik. Takut tidak akan berjumpa akan tempatnya, maka sia-sia sajalah perjalananku. SMS Dome. Biarlah apa dia nak kata; aku memang panik. Asal dapat jumpa tempatnya. Sebaik saja aku tekan butang “send”, ternampak satu notis kecil di tampal di pangkal tangga. Bergegas aku menaikki tangga. Akhirnya sampai juga.

Memang perjalananku tidak sia-sia. Jiwa terhibur dengan ungkapan dalam ucapan; recital dari buku Meor; dan lagu-lagu yang mengiramakan lirik-lirik penuh makna. Lagu-lagu yang dinyanyikan memang RAW dan ORIGINAL. Aku tersangat suka.

Sebenarnya aku memang teruja apabila dapat tahu majlis akan dimeriahkan oleh Pyanhabib dan Nikbinjidan. Sajak-sajak Pyan memang sudah lama aku baca, walaupun ada yang kurang aku fahami. Dan sebenarnya aku juga sudah tonton 1, 2 video Meor dan Nik di facebook. Memang aku suka.

Dan ketika baru saja aku duduk, Pak Samad Said pun masuk. Oh Tuhan!!!!! Hari ini aku bertemu dengan insan yang aku kagumi sejak usiaku belasan tahun lagi. Apa lagi, aku pun petiklah butang kamera. Dia duduk selang beberapa buah kerusi dari tempat duduk aku. Aku memang sangat teruja. (Ketika menelefon yang tersayang selepas acara, aku katakan padanya, A Samad Said ada! Dia duduk dekat saya!!! Ha ha ha begitulah excitednya aku. Buku-bukunya pernah aku baca, sajaknya pernah aku deklamasikan ketika di sekolah. Namun, diri terasa sangat kecil hingga terasa malu untuk minta bergambar. Serasa perkataan itu sudah di kerongkong tapi tidak terkeluar. Mengalahkan pertama kali jumpa bakal suami dulu ha ha ha!!!!!)

Secara keseluruhannya aku sangat terhibur dengan agenda yang dihidangkan. Suara-suara mereka sebenarnya excellent! Apa lagi menyanyikan bait-bait ciptaan sendiri. Penghayatan yang hampir total. Aku sendiri terbuai (ke aku yang syok sendiri??!!?). Gaya recital dari buku Meor oleh Pyan juga bagus. Teringat zaman di universiti dulu. Selain membaca dari kitab agama di rumah bujang, sesekali kami membaca sajak ketika berkumpul walaupun hanya 4,5 orang. Tapi sekarang apabila berkumpul dengan teman-teman lama ceritanya ialah tentang kerja, anak, suami, baju, aksesori etc etc... Rindu pada teman lama terubat dengan gathering yang sesekali diadakan, tapi ..... entahlah haiiii.

Aku dapat saksikan di majlis itu, kelompok manusia ini yang sangat supportive antara mereka. (Well, that’s what I could observe sebagai orang luar). Aku kagum juga dengan mereka ini, buat lagu sendiri, rakam sendiri, jual sendiri. Kalau artis “arus perdana”, dah heboh dah dalam media menjaja cerita, semuanya modal sendiri demi minat dan sumbangan kepada dunia seni tanahair... begitulah lebih kurang akan terkeluar komen dari mereka itu. Tapi bagi mereka yang aku jumpa buat pertama kalinya di majlis itu, perkara sebegini adalah sebahagian dari hidup mereka. Mungkin apa yang penting buat kelompok ini ialah kepuasan diri dapat berkarya dan ada insan lain yang dapat menikmatinya. (Teringat pulak kepada “content theory” oleh Maslow. Agaknya apa yang mereka mahukan ialah “self actualisation” – keadaan tertinggi dalam teori Maslow ini)

Dalam ucapannya Meor ada menggunakan perkataan “plastik”. Aku teringat kepada perbualan ku selepas kelas dengan beberapa orang pelajar aku. Itulah perkataan yang aku gunakan untuk menggambarkan kehidupan rata-rata manusia di zaman yang dikatakan moden ini. Kami sebenarnya sedang berbual tentang apa yang dibaca di internet. Aku beritahu mereka yang aku ikuti blog-blog beberapa insan ini. Pada aku mereka ini jujur, iklahs, tidak berselindung. Banyak yang aku pelajari tentang manusia, kehidupan dan alam dari tulisan mereka. Anak-anak muridku tercengang mendengar hobi cikgu mereka. Agaknya itu tanda umur yang semakin meningkat banyak!!!

Di akhir hari, aku puas sebenarnya. Dapat melihat, mendengar dan menghayati dari awal hingga akhir. Memang aku tidak berganjak sehingga MC memaklumkan acara sudah berakhir. Jiwa seakan ter”kesan” dan “fulfilled”.

Akhir kata, terima kasih kepada yang menjemput. Terima kasih yang memberi maklumat. Terima kasih kepada yang membuat persembahan (bukan penyembah seperti kata MC, maaf.... he he he). Terima kasih Meor. Terima kasih semua kerana hari itu banyak event “pertama kali” yang berlaku dalam hidup aku yang sebenarnya bukannya muda lagi.......