Thursday, April 2, 2009

Mama telah menemui Penciptanya, AlFatihah

Mama meninggal, pagi tadi. Suami ku baru sahaja menelefon. Aku pula baru saja memberikan masa rihat 5 minit setelah 1 jam kuliah.

Mama ialah isteri kepada pakcik suamiku. Memang jauh kedudukannya dari aku. Tapi sejak mula perkahwinan aku dengan suamiku aku rasa sangat rapat dengan dia. Aku rasa seperti ada pertalian anak dan emak dengan dia. Bila dengan dia aku dapat rasakan rasa gembira dia, rasa pilu dia. Aku dapat membaca isi hatinya. Dan dia begitu baik dengan aku sekeluarga. Setiap kali pulang ke kampung suami di Kuala Terengganu, dia pasti menjemput kami ke rumahnya untuk makan malam atau makan tengahari. Jika kebetulan berhari raya di sana, aku gembira menziarahi dia. Pasti ada nasi kunyit, ketupat pulut dan rendang. Dia tersenyuim bila mataku besar melihat hidangan di bawah tudung saji. Dia dengan tenang akan melayan kami, melayan aku sebenarnya. Dan aku teramat senang duduk di sisinya di meja di ruangan dapur.

Kali terakhir bertemu ialah Hari Raya Aidil Adha tahun lalu. Ketika aku mencium tangannya dan memeluknya. Ada airmata yang keluar dari kelopak matanya. Aku mengesat airmata itu. Suara ku sebak berkata, “Mama, jangan nangis. Insyallah kita jumpa lagi.” Lantas aku memeluk dia lagi dengan lebih erat. Dan kami melangkah pulang.

Mama, dugaanmu berat di dunia ini. Allah mendugamu dengan kematian dua anak, dan seorang menantu. Engkau redha dengan apa yang ditakdirkan untukmu. Aku pernah merenung tubuhmu yang dilitupi telekung putih beberapa tahun lalu. Tanganmu tinggi menadah memohon kepada Allah. Ketika itu engkau dan seluruh keluargamu ditimpa petaka. Aku hanya mampu untuk berdoa untukmu.

Mama, aku doakan diampunkan segala dosa. Moga Allah menerima segala amalanmu. Moga engkau sejahtera di sana.

Mama, berpisahlah kita buat selamanya.