Monday, October 26, 2009

Meor "Sembang Tepi Jalan"

24 Oktober 2009
Ke majlis pelancaran buku Meor “Sembang Tepi jalan” di Annexe Pasar Seni. Ke sana menaikki komuter dari Subang Jaya dihantar ke stesen oleh yang tersayang. Sudah hampir 2 tahun kembali ke tanahair, inilah kali pertama menaikki public transport.

Memang nasib kurang baik. Ada sesuatu berlaku di Kelang menyebabkan perjalanan komuter tergendala. Keretapi yang dijadual 2.16 tiba 30 minit kemudian. Aku habiskan masa membaca Reader’s Digest sambil berdiri. Tiada bangku dan kerusi yang kosong. Habislah juga membaca beberapa buah artikel yang agak menarik. Antaranya artikel tentang kesihatan; tentang sifat seseorang yang boleh ditelah melalui lagu-lagu yang digemari; dan sebuah artikel tentang jamban kampung ditahun 70an dulu. Ha ha ha percaya atau tidak ini yang paling menarik.

Keretapi sampai hampir 2.50. Majlis sepatutnya bermula 3 ptg. Keadaan dalam keretapi sudah tentu sesak akibat jadual yang tertunggak. Tiba di KL Central kira-kira 25 minit kemudian. Ha ha ha pertama kali jejak kaki di sini. Tentu ada yang tak percaya. Aku yang dibesarkan di KL dahulu masih banyak pelusuk KL yang belum aku jelajahi.

Tidak mahu membuang masa, aku cari kaunter informasi. Memang agak jelas terbayang perasaan pelik di wajahnya apabila aku bertanya, kat mana nak ambil LRT? Akak nak pegi central market. Mungkin terlintas di hatinya, dari mana agaknya perempuan ini datang? Nak ambil LRT pun tak tau. Ah lantaklah asalkan masaku tak terbuang.

Beli tiket. Alahai rupanya hanya satu stesen dari KL Central. Itu pun aku tak tahu he he he.... Di CM dah jumpa annexe, kenapa sepi? Terdetik pertanyaan di hati. Aku bayangkan kemeriahan dengan signage atau tunjuk arah atau notis. Dan seperti biasa aku panik. Takut tidak akan berjumpa akan tempatnya, maka sia-sia sajalah perjalananku. SMS Dome. Biarlah apa dia nak kata; aku memang panik. Asal dapat jumpa tempatnya. Sebaik saja aku tekan butang “send”, ternampak satu notis kecil di tampal di pangkal tangga. Bergegas aku menaikki tangga. Akhirnya sampai juga.

Memang perjalananku tidak sia-sia. Jiwa terhibur dengan ungkapan dalam ucapan; recital dari buku Meor; dan lagu-lagu yang mengiramakan lirik-lirik penuh makna. Lagu-lagu yang dinyanyikan memang RAW dan ORIGINAL. Aku tersangat suka.

Sebenarnya aku memang teruja apabila dapat tahu majlis akan dimeriahkan oleh Pyanhabib dan Nikbinjidan. Sajak-sajak Pyan memang sudah lama aku baca, walaupun ada yang kurang aku fahami. Dan sebenarnya aku juga sudah tonton 1, 2 video Meor dan Nik di facebook. Memang aku suka.

Dan ketika baru saja aku duduk, Pak Samad Said pun masuk. Oh Tuhan!!!!! Hari ini aku bertemu dengan insan yang aku kagumi sejak usiaku belasan tahun lagi. Apa lagi, aku pun petiklah butang kamera. Dia duduk selang beberapa buah kerusi dari tempat duduk aku. Aku memang sangat teruja. (Ketika menelefon yang tersayang selepas acara, aku katakan padanya, A Samad Said ada! Dia duduk dekat saya!!! Ha ha ha begitulah excitednya aku. Buku-bukunya pernah aku baca, sajaknya pernah aku deklamasikan ketika di sekolah. Namun, diri terasa sangat kecil hingga terasa malu untuk minta bergambar. Serasa perkataan itu sudah di kerongkong tapi tidak terkeluar. Mengalahkan pertama kali jumpa bakal suami dulu ha ha ha!!!!!)

Secara keseluruhannya aku sangat terhibur dengan agenda yang dihidangkan. Suara-suara mereka sebenarnya excellent! Apa lagi menyanyikan bait-bait ciptaan sendiri. Penghayatan yang hampir total. Aku sendiri terbuai (ke aku yang syok sendiri??!!?). Gaya recital dari buku Meor oleh Pyan juga bagus. Teringat zaman di universiti dulu. Selain membaca dari kitab agama di rumah bujang, sesekali kami membaca sajak ketika berkumpul walaupun hanya 4,5 orang. Tapi sekarang apabila berkumpul dengan teman-teman lama ceritanya ialah tentang kerja, anak, suami, baju, aksesori etc etc... Rindu pada teman lama terubat dengan gathering yang sesekali diadakan, tapi ..... entahlah haiiii.

Aku dapat saksikan di majlis itu, kelompok manusia ini yang sangat supportive antara mereka. (Well, that’s what I could observe sebagai orang luar). Aku kagum juga dengan mereka ini, buat lagu sendiri, rakam sendiri, jual sendiri. Kalau artis “arus perdana”, dah heboh dah dalam media menjaja cerita, semuanya modal sendiri demi minat dan sumbangan kepada dunia seni tanahair... begitulah lebih kurang akan terkeluar komen dari mereka itu. Tapi bagi mereka yang aku jumpa buat pertama kalinya di majlis itu, perkara sebegini adalah sebahagian dari hidup mereka. Mungkin apa yang penting buat kelompok ini ialah kepuasan diri dapat berkarya dan ada insan lain yang dapat menikmatinya. (Teringat pulak kepada “content theory” oleh Maslow. Agaknya apa yang mereka mahukan ialah “self actualisation” – keadaan tertinggi dalam teori Maslow ini)

Dalam ucapannya Meor ada menggunakan perkataan “plastik”. Aku teringat kepada perbualan ku selepas kelas dengan beberapa orang pelajar aku. Itulah perkataan yang aku gunakan untuk menggambarkan kehidupan rata-rata manusia di zaman yang dikatakan moden ini. Kami sebenarnya sedang berbual tentang apa yang dibaca di internet. Aku beritahu mereka yang aku ikuti blog-blog beberapa insan ini. Pada aku mereka ini jujur, iklahs, tidak berselindung. Banyak yang aku pelajari tentang manusia, kehidupan dan alam dari tulisan mereka. Anak-anak muridku tercengang mendengar hobi cikgu mereka. Agaknya itu tanda umur yang semakin meningkat banyak!!!

Di akhir hari, aku puas sebenarnya. Dapat melihat, mendengar dan menghayati dari awal hingga akhir. Memang aku tidak berganjak sehingga MC memaklumkan acara sudah berakhir. Jiwa seakan ter”kesan” dan “fulfilled”.

Akhir kata, terima kasih kepada yang menjemput. Terima kasih yang memberi maklumat. Terima kasih kepada yang membuat persembahan (bukan penyembah seperti kata MC, maaf.... he he he). Terima kasih Meor. Terima kasih semua kerana hari itu banyak event “pertama kali” yang berlaku dalam hidup aku yang sebenarnya bukannya muda lagi.......

Thursday, October 8, 2009

CATATAN RAMDHAN 2009

Jumaat sebelum Ramadhan: Jalan sesak. 2 jam baru sampai ke rumah. Tak sempat masak utk dinner. Makan maggi buat alas perut. Sediakan dinner emak. Nasi dan lauk dah ada. Masakkan sayur air. Tarawikh di surau Desa Subang Perantau, surau yang paling dekat dengan rumah, alhamdulillah. Lepas tarawikh, ke restoren Shaaz, dinner.

Ramadhan 1: Sahur nugget dan fries. Qiyamullail. Ke pejabat walaupun Sabtu. Jam tiga tinggalkan pejabat, ke Giant. Malam ni Zela & Zul dtg berbuka. Keluarga kami bertiga semua ada kecuali Nasreen, tak balik dari UiTM Perak, ada kerja. Bahagia melihat cucu-cucu emak datang, peluk dan cium nenek mereka. Tambah bahagia melihat senyum Emak. Syukur kerana Allah gerakkan hati untuk mengajak mereka berbuka bersama. Tarawikh bersama di rumah. Emak ikut Zela balik ke Shah Alam nak ucap selamat jalan kepada Fiqa yg akan berangkat semula ke Jogja esoknya.

Ramadhan 2: Sahur nugget dan fries. Qiyamullail. Sedap tidur lepas subuh sebab hari minggu tak bekerja. Meriah di pasar dengan adik yg menjual sayur. Kami membeli sayur2an hanya dari dia. Berbuka buah korma dan mee kari, berselera sungguh semuanya. Tarawikh di surau.

Ramadhan 3: Sahur nugget & fries. Aku dgn mee kari semalam. Qiyamullail. Ke pejabat lewat sedikit. Sekolah mula cuti. Jalanraya kurang sibuk. Mula tadarus di tingkat 14, Anis, Salina, Asiah, Juriah. Waktu tadarus waktu lunch. Pulang awal jam 4 ptg. Berbuka buah korma, nasi berlaukkan cencaru disumbat sambal dan dibakar dan sayur kailan goreng belacan. Licin. Nadzirah yang kata tak suka cencaru pun menambah nasi. Tarawikh, alhamdulillah

Ramadhan 4: Sahur nugget & fries. Qiyamullail. Tak dapat tadarus, Nabiha (student CIMA) buat mid term test. Berbuka buah korma, nasi berlaukkan udang masak lemak dan kailan + kobis goreng. Tarawikh.

Ramadhan 5: Sahur nugget & fries. Aku dgn nasi dan 2 biji telur goreng. Qiyamullail. Di pejabat, badan mula rasa tidak sihat. Mula batuk-batuk. Kelas 4 jam. Terasa lelah. Terasa lenguh2 di sendi. Secebis kekuatan Allah tarik sebagai dugaan. Berbuka popia goreng bersambal dan seri muka. Qayyim beli di bazaar. Makan panadol 2 biji. Lepas solat maghrib ke restoren Shaaz. Masing2 dengan menu sendiri. Hantar Qayyim dan Nadzirah ke surau, Amir ke tuition. Aku dgn yg tersyg ke Klinik Dunia Medik Seksyen 23 Shah Alam. Bukan influenza yg ditakuti itu, alhamdulillah. Pulang dari klinik terus rebah di katil hingga jam satu pagi. Tidak tarawikh, aduuuuhh.

Ramadhan 6: Badan sedikit terhuyung hayang. Sediakan sahur, nugget & kentang goreng. Aku dengan nasi dan sebiji telur goreng, ditaruh kicap. Makan ubat yang diberi doktor, terus tidur. Tidak qiyamulail. Di pejabat, suhu badan bertambah panas ketika hari semakin lewat. Sungguh Allah memberikan keringanan, tak boleh berpuasa. Minum air. Minta pada Asiah panadol, dua biji aku ambil. Namun suhu badan masih terasa panasnya. Kepala ku rehatkan di atas meja. Sesekali terlelap. Jam 2.15 ke kelas. Suara sekejap ada sekejap hilang. Tapi aku teruskan juga selesaikan bab 8 dan memulakan bab 9. Next week the quiz will be on chapters 7 and 8, kataku mengakhiri kelas. Mazni yang telah 4 hari tidak hadir kerana tidak sihat terkejut. Aku hadiahkan senyuman pada dia. Apa boleh buat, nasib seorang pelajar.

Sesampai di rumah aku terus rebahkan diri di atas katil, berihat. Nampak gaya akan dinner di Shaaz sahaja malam ini. Malamnya tidur memang terganggu. Kepala terasa bengal dan panas. Seluruh badan juga terasa sangat panas. Berkali-kali aku teguk air. Yang tersayang juga terganggu tidurnya kerana aku. Resah aku dibuatnya. Ke kiri tidak kena, ke kanan juga tidak kena. Aku minta yang tersayang basahkan tuala. Terasa ringan sedikit kepala apabila tuala basah itu aku letakkan di kepala.

Ramadhan 7: Waktu sahur, aku kejut yang tersayang. Nadzirah yang sediakan sahur pagi ini. Syukur dia memang cekap di dapur. Cuma kurang sikit untuk berkemas. Tidak mengapa, asalkan ibadah sahur dapat ditunaikan. Aku terus terbaring. Waktu subuh, aku juga yang kejutkan yang tersayang supaya mengejutkan anak-anak. Memang sudah jadi kebiasaan. Ahli keluargaku bagaikan tidak mahu ambil alih tugas yang ini. Badan terasa amat lemah. Aku paksakan bersarapan air milo dan biskut. Macam pencuri pulak rasanya. Curi-curi buat air dan makan dalam bilik. Setelah makan ubat, aku berbaring semula. Sungguh tidak pernah aku rasa sakit begini. Seluruh sendi terasa sakit. Badan amat lemah. Batuk kering sudah mula bertali. Yang tersayang balik sebentar, membersih diri untuk solat Jumaat. Aku separuh sedar. Berbuka hari ini aku minta yang tersayang membeli lauk dari restoren Shaaz. Aku lihat anak-anak berselera. Memang itu dapur kedua mereka. Memang kena selera mereka dengan menu Shaaz. Aku cuba gagahkan diri bangun dan bergerak. Tapi terasa langkah bagai ditahan-tahan. Tangan menggigil. Terasa sunyi apabila mereka semua ke surau.

Ramadhan 8: Nadzirah masih menyediakan sahur. Aku bangun sebentar menjamah sedikit fries, makan ubat dan terus rebahkan diri. Tidak banyak beza dari semalam. Nadzirah sediakan menu ikan masak kicap untuk berbuka puasa. Berselera nampaknya ahli keluarga. Ketika mereka semua ke surau aku cuba menatap monitor komputer. Berpinar rasanya mata membaca tulisan-tulisan. Jemari rasa menggigil menggerakkan mouse dan menekan butang keyboard. Aku rebahkan tubuh kembali. Bangun semula sebentar untuk sediakan ramuan untuk goreng mee teow esok. Bukannya apa sangat pun, daging cincang, tahu, sayur sawi. Nugget dan fries sudah kehabisan.

Ramadhan 9: Aku bangun hendak menggoreng mee teow. Sedang menumis, tiba-tiba badan terasa sangat lemah. Kejutkan Nadzirah. Dia membantu. Setelah menjamah sedikit mee teow goreng dan makan ubat, aku rebahkan diri atas katil kembali. Paginya, yang tersayang mengajak grocery. Badan memang tak larat. Berdiri sebentar sudah terasa mengah. Penangan flu kali ini memang lain. Belum pernah aku rasakan. Minta yang tersayang belikan santan, teringin hendak masak kari ayam. Terharu melihat anak-anak dan yang tersayang begitu berselera dengan kari ayam ketika berbuka puasa. Bertambah baik dari semalam. Namun, badan masih lemah.

Ramadhan 10: Hari ni 31 Ogos. Bangun sediakan sahur, tapi minta bantuan Nadzirah dan Amir. Selepas jam 10 pagi, bertolak ke Puchong ziarah adik Su, adik iparku yang baru seminggu melahirkan. Singgah di IOI Mall Puchong. Bertahun rasanya tidak singgah di situ. Qayyim masih belum berjumpa dengan kasut yang berkenan di hati. Teruja mereka apabila disuruh membeli makanan dari bakery. 2 double cheese bun, pilihan aku dan yang tersayang, 2 donut salut cokelat, pilihan Qayyim, sekeping pizza, pilihan Amir dan cheese cake, pilihan Nadzirah. Kak Amnah, jiran kami pulak bagi juadah soto. Bakar ikan cencaru sumbat sambal. Aku berbuka soto dan satu potong kecil pizza. Aisyah, anak Meor pulak datang. Memang anak jiran kami itu ada kalanya tidak mahu balik. Yang tersayang gatal-gatal satu badan akibat duduk di kerusi buruk di porch kami. Lepas maghrib dia ke farmasi.

Ramadhan 11: Mula kembali rutin menyediakan sahur nugget dan fries. Aku bersahur nasi, lauk ikan cencaru. Anak-anak mula bersekolah hari ini. Hari mendung. Hujan mulai turun setelah jam 8 pagi. Hari ini jemput mak dari rumah Zela. Kesian mak, terpaksa tangguh untuk balik sebab aku tidak sihat. Sepatutnya aku jemput Emak minggu lepas lagi. Aku bimbang juga kalau emak jangkit flu. Sebab itu aku tangguh untuk jemput mak balik. Berbuka lauk ikan selar asam pedas dan sayur bayam. Qayyim ke bazaar ramadhan beli popia dan popia, popia goreng dan popia goreng berlauk. Sukanya Amir dan Qayyim. Yang tersayang bertambah teruk gatal-gatal. Ke klinik Dunia Medik di seksyen 23 Shah Alam setelah ambil Qayyim dari tuition. Kena injection, doktor beri ubat. Katanya sakit-sakit badan. Jam sebelas, terasa badannya panas. Janganlah pulak terkena flu.

Ramadhan 12: Goreng nugget dan fries. Panaskan sayur dan asam pedas. Aku dan emak bersahur nasi. Yang tersayang memang benar-benar tak sihat. Terbaring. Minum air masak dan nescafe panas sahaja. Makan ubat gatal. Aku suruh makan panadol, taknak. Biasalah tu. Memang kalau yang tersayang ni sakit aku jadi susah hati. Makan ubat susah. Badan masih terasa sakit. Tak taulah samada dia tahan untuk berpuasa hari ni. Moga Allah beri kekuatan. Mak buat bubur ca-ca dan masak sup sayur campur. Dan malam kaki emak sakit. Aku memang sedar sejak kebelakangan ini emak tak boleh langsung berkuat. Masak lauk ikan selar masak kicap. Rihat sikit sebab emak dah masak sayur. Kesian mak. Malam tidak tarawikh di surau, hanya di rumah. Ke kedai sebab beras dah habis. Amir tuition. Yang tersayang masih tidak kuat. Aku jemput Amir dari tuition.

Ramadhan 13: Goreng nugget dan fries. Panaskan sayur dan ikan kicap. Yang tersayang bangun untuk sahur. Permintaan untuk makan panadol akhirnya ditunaikan sejurus sebelum waktu imsak. Aku jadi merajuk sebab bila aku minta dia makan panadol, diam saja. Suhu tubuh memang tinggi. Bimbang juga kalau jadi perkara lain pulak. Aku beritahu yang tersayang yang aku susah hati jika dia tidak ambil sesuatu untuk demamnya.

Tadarus di tingkat 14. Hari ini hanya ada satu sesi kelas, dua jam. Tapi batuk yang melanda menarik-narik tenaga tubuh. Badan terasa sakit. Sebelum bertolak balik telefon yang tersayang, beritahu tak sanggup rasanya hendak memasak. Sampai di rumah emak sedang menggoreng sayur campur goreng sambal. Aku rebahkan diri atas katil setelah solat asar. Yang tersayang pulang jam enam. Setelah mandi, keluar ke restoren Shaaz. Lauk yang dibeli ikan pari asam pedas, ayam rendang dan yang tersyang membeli kari kambing. Memang kegemaran dia kari kambing tu. Malam, memulakan kembali tarawikh di surau. Nyaman rasanya dapat bersolat sunat tarawikh di surau begitu. Jemaah sudah tidak ramai. Biasalah apabia Ramadhan menjenguk ke separuh jalan. Yang tersayang tidak ke surau. Tubuh masih gatal-gatal.

Ramadhan 14: Hampir sahaja terlepas sahur. Jam berbunyi jam empat pagi seperti selalu, tapi kerana kurang sihat, lenaku terlajak hingga jam 4.50 pagi. Tergesa-gesa bangkit dan terus kejutkan Nadzirah. Sesekali anak dara ku nan seorang ini memang penyelamat ibunya. Goreng nugget dan fries. Panaskan lauk-pauk yang tidak habis malam tadi. Membebel sebentar sebab baru perasan yang nasi habis. Ini tentu amir yang habiskan nasi. Hmmm memang kalau lauk dari Shaaz berkenan sungguh dia. Yang aku kesal, tidak pulak dia beritahu aku. Biasanya dia beritahu kalau nak dihabiskan lauk atau nasi di dapur. Cepat-cepat aku basuh beras dan menanak nasi. Sempat juga nasi masak.

Di pejabat leka dengan thesis. Jam 12.45 ambil wudhu dengan tujuan untuk bertadarus. Di tingkat 14 suasana sepi, Anis, Asiah, Salina yang biasa bertadarus tak nampak kelibat mereka. Aku senyum sendiri. Kiranya mereka ni pergi shopping. Hai tak pulak diberitahu aku. Aku duduk di meja Salina ambil kesempatan melihat email, TKO dan Facebook. Bayar bil-bil. Maklumlah di tingkat 4 internet belum disambung kembali.

Pulang jam 4 petang. Kebetulan bibik Zela ke BP. Malangnya, kunci yang ditinggalkan salah. Terkial-kial aku dan Amir cuba mengunci pintu. Terpaksa tunggu Zela balik. Bertolak dari Seksyen 24 jam 4.30 pm. Cuba elak jam di highway, tapi disetiap jalan keluar dari Shah Alam pun jam juga. Lebai malang sungguh. Akhirnya perjalanan memakan masa hampir dua jam. Sampai di rumah hampir jam 6.30. Rasanya tak sempat nak memasak. Emak beritahu dia cadang hendak buat buah melaka, tapi leka dengan Al Kuliyah di TV. He he he... tak apa emak. Aku sendiri pun tidak pernah dapat buat kuih untuk berbuka. Kak Midah bagi 3 sisir pisang abu. Emak sudah merancang untuk buat naga sari esok. Sedap tu. Lepas solat Asar, ke restoren Shaaz lagi. Kali ini lauk ayam madu, dan sup sayur. Singgah di pasaraya Save More. Yang tersayang teringin puding. Beli bahan-bahan yang diperlukan. Solat sunat tarawikh di surau. Yang tersayang kembali solat di surau. Tubuh sudah kembali sihat. Alhamdulillah.

Jamaah bertambah kurang dari malam tadi. Airmata ini mahu mengalir keluar lagi. Apakah sudah bersedia diri sekiranya dijemput pergi Allah SWT. Apakah ada lagi Ramadhan buatku, Tarawikh buatku, Qiamulail buatku? Tuhan, tidak termampu aku menghapus dosa-dosaku. Tidak termampu aku melawan arus godaan. Aku hanya mampu memohon kekuatan dariMU, walau secebis cuma. Aku hanya mampu memohon redhaMU, keampunanMU. Pandanglah hambaMU ini, usah Kau palingkan Rahman dan RahimMU dariku, ya Allah. Pandangilah kami di sini. Nyaman perasaan ini dibuai alunan suara Imam Zul. Suara penuh keinsafan membuatkan lidah ini bertambah lazat mengucap zikir.

Ramadhan 15: Rasanya tubuh sudah sihat seperti sedia kala. Cuma ada batuk sesekali dan apabila batuk terasa sedikit sakit di belakang tubuh. Goreng nugget dan fries. Panaskan lauk-pauk yang tidak habis malam tadi. Qiyamulail dan tadarus sebelum subuh, alhamdulillah. Ke Pasar Kecil Subang belikan emak tepung beras, nugget dan kelapa. Hantar Qayyim ke tuition dan terus ke pejabat. Ingin meneruskan kerja thesis. Dapat selesaikan sedikit kerja thesis tentang order effects. Moga-moga analisis betul. Tinggalkan pejabat jam dua lebih sikit. Ke SACC. Tujuan untuk cari buku Putery aka Suzy yang aku kenal melalui laman web tokeikedai. Tajuknya Tiada Noktah Cinta. Dua kali pusing bangunan SACC. Shah Alam memang sesak ketika Ramadhan. Parking di tingkat teratas, parking terbuka tiada berbumbung. Di MPH bukunya masih belum ada. Balik terus ke rumah. Mak dan Nadzirah dah siap buat naga sari. Nadzirah pulak sudah potong dadu kentang untuk dibuat inti karipap. Mak berhajat nak bawa ke JB esok. Ikan selar masak merah dan sayur bayam air saja untuk berbuka. Sambil memasak inti karipap. Tarawikh di surau, alhamdulillah. Bermula bacaan Qunut di rakaat terakhir witir. Balik ke rumah emak sudah siap uli tepung untuk kulit karipap. Kerjakan karipap hingga 12 malam. Zabri ke rumah Joe, ambil baju emak yang kami tempah senyap-senyap. Berkemas serba sedikit, jam satu baru masuk tidur.

Ramadhan 16 (malam Nuzul Quran): Alhamdulillah tak ada masalah bangun sahur. Takut juga terlepas sahur apabila tidur lewat. Goreng nugget dan fries. Panaskan lauk-pauk yang tidak habis malam tadi. Rasanya emak tak tidur lepas sahur. Berkemas barang-barang yang hendak dibawa. Dan aku rasa emak excited nak berjumpa cucu yang masih kecil-kecil. Anak Ica yang bongsu (keempat) baru berusia enam bulan dan Ani yang melahirkan anak kembar 2 bulan lepas pulak akan datang tidur rumah Ica selama seminggu dari Singapura. Agaknya tak sabar mak nak jumpa cucu-cucu yang masih kecil. Yang di KL ni semuanya dah besar panjang, dah bersekolah he he he. Tidak qiyamullail, aduuh, kemengantukan. Tidur semula selepas subuh. Tersedar ketika jam sudah 8.30. Bersiap-siap untuk ke JB. Ica sms beritahu Ani sudah tiba dari Singapura. Bertolak kira-kira jam 10.20 pagi. Amir dan Qayyim tidak ikut. Amir ada trial exam. Cuaca redup, dan highway tak banyak kenderaan. Perjalanan tiga jam sahaja. Rasanya yang tersayang pun sesekali memecut juga hingga 160km sejam.

Tiba di rumah Ica jam 1.20 pm. Cuma ada bibik. Mereka ber shopping hariraya. Waduuuh gembiranya dapat jumpa si kembar anak Ani, Nurain Qasrina, sikakak dan Nurain Qaisara, si adik. Manis-manis wajahnya. Si adik lebih tembam dari kakak. Bajunya sudah sendat. Tak puas menatap wajah-wajah mereka. Anak Ica, Aseef pula comel sungguh, asyik tersenyum. Pantang dipanggil.

Telefon Amir jam enam lebih. Belum ke bazaar ramadhan. Aku gesa mereka pergi.

Meriah kami berbuka. Hidangan nasi goreng, mee hoon tomyam dan ayam panggang. Surau pula ada acara berbuka. Asree bawa balik lemang sebatang, lepat dan ketupat. Lauknya rendang daging dan sambal udang. Ica terlupa emak tak boleh duduk di bawah. Kami berbuka di atas hamparan tikar sementara emak di kaunter dapur. Ica pun seronok juga kali pertama berbuka di rumah. Selama ini berbuka di rumah mertua. Niat di hati nak bertarawikh di rumah tapi terasa pula penat dan kepala sakit. Malamnya bersantai-santai dengan baby-baby. Jam 9.45 telefon Amir, tiada jawapan. Mereka ke surau bertarawikh. Bagus juga pandai sendiri untuk ke surau. Tidur agak awal. Tapi jam satu lebih sikembar dua-duanya berteriak menangis. Aku bingkas tolong Ani. Sara nak menyusu. Rina pula kena tukar lampinnya. Huh kesian tengokkan Ani. Boleh tensyen dibuatnya melayan anak kembar ni. Ani kata kalau di rumah, ayahnya yang tolong. Tapi nampak sikembar macam tak lena tidur. Agaknya rindukan ayahnya. Akhirnya kedua-duanya lena. Akupun sambung lenaku.

Ramadhan 17: Sahur dengan lebihan lauk berbuka. Berselera saja, maklumlah ramai. Telefon amir jam 4.20 pagi. Sedang menggoreng nugget. Komenku, kalau Ibu tak ada pandai pulak buat benda-benda tu semua sendiri. Aseef pun bangun juga. Lepas sahur Aseef bergolek-golek dengan yang tersayang. Memang yang tersayang suka melayan anak-anak kecil. Johor tak cuti nuzul quran, Ica sekolah, Along (Akeef) dan Angah (Afeef) sekolah. Acik (Ateef) dicutikan. Aku kata sempena nenek datang dari KL dan sikembar dari Singapura ha ha ha. Rasa tidak mahu tinggalkan sikembar. Tak puas bersama mereka. Bertolak ke Kuala Lumpur jam 10.20 pagi juga. Perjalanan lancar. Cuaca panas tapi tidak terik, alhamdulilah.

Tiba di Shah Alam jam hampir jam 2pm. Terus ke Giant buat grocery dan cari lauk. Alhamdulillah tidak begitu sesak. Tunggulah nak dekat raya nanti, Giant akan terlalu sesak. Begitulah keadaannya bila nak raya, orang memang ramai dan ada duit untuk membeli belah. Penuh juga troli kami. Lebihkurang sejam di Giant. Tiba di rumah solat Dzohor dan terus rebahkan diri atas katil. Rasa mengantuk dan badan sakit-sakit. Kepala juga sakit. Agaknya sebab malam tadi tidur atas lantai beralaskan tilam nipis. Tersedar hampir jam enam. Solat asar. Sempat masak kari ayam. Nadzirah goreng sayur menggunakan Maggi secukup rasa. Bagus juga perasa ni. Kalau nak cepat boleh guna, tak perlu bawang dan lain-lain. Kalau kari ayam, anak-anak memang berselera. Hantar Amir tuition dan ke surau untuk bertarawikh. Lepas tarawikh yang tersayang ajak kami ke warung, hirup sup gear box ha ha ha. Meor bagi merasa lemang, bagus rasa lemangnya, tak overcooked. Aku tak suka kalau lemang yang keras.

Ramadhan 18: Goreng nugget dan fries dan juga karipap. Aku bersahur karipap. Yang lain seperti biasa. Hari ni kerja semula. Hai alangkah bagusnya kalau boleh cuti. Entah kenapa Ramadhan kali ini aku rasa malas hendak ke pejabat. Tapi bila dah sampai dan mula bekerja, hilang rasa malas. Tambah-tambah kalau dalam kelas. Tapi bila petang memang tak sabar-sabar nak balik. Kelas 10 hingga 12 dan 2 hingga 4. Entah kenapa hari ini sungguh bersemangat mengajar walaupun kelas jam 10 ramai yang tak hadir. Agaknya ambil cuti lanjut. Entah lah pelajar-pelajar CAT ni, hampir semua mengambil kertas ini buat kali kedua. Tapi sikap masih tidak berubah. Mereka fikirkan apabila ambil kali kedua isi kandungan silibus sudah ada di dada. Jadi ke kelas dengan sikap sambil lewa saja.

Goreng mee untuk berbuka dan buat jemput-jemput pisang. Jemput-jemput habis. Mee goreng kurang enak pula rasanya. Tarawikh di surau. Malam ni ustaz Fahmi lebih lancar bacaannya. Ada satu malam bacaannya banyak tersekat-sekat. Alhamdulilah.

Ramadhan 19: Nugget dan fries seperti biasa dan aku dengan mee goreng. Tidak qiyamullai, adusss. Tiba di pejabat sangat awal 7.20 pagi. Petang ni kena buat round di seksyen 24 untuk folio geografi Qayyim. Dia perlu melukis graf menunjukkan kegiatan perdagangan di seksyen 24. Sampai di rumah agak lewat, hampir jam enam petang. Amir tak sihat, dari semalam sebenarnya. Masak sup sayur taugeh dan tahu, dan sambal udang. Solat isya’ di rumah dan ke surau untuk bertarawikh lepas hantar Amir ke tuition.

Ramadhan 20: Nugget dan fries seperti biasa dan aku dengan nasi berlauk sup sayur dan sambal udang. Tidak qiyamullail..... Tiba di office lebih awal dari semalam, 7.15 pagi. Qayyim sakit tekak. Berbuka dengan western menu sebab dah tak ada lauk dalam fridge. Ayam goreng Ayamas, fries dan coleslaw. Panaskan nasi dan lebihan sambal udang semalam. Aku berbuka nasi kerana sayangkan nasi dan lauk yang tak habis. Sebelum berbuka Amir beritahu yang dia masih cirit-birit. Ke klinik Alam Medik di seksyen 23 Shah Alam. Kebetulan Dr Saemah bertugas. Aku ambil kesempatan tanya tentang batuk yang tak sudah-sudah. Dia prescribe clarityne (betul ke ejaannya ni). Yang tersayang periksa tekanan darah. Memang sah jenis tekanan rendah. Tidak tarawikh. Rugi satu lagi malam.

Ramadhan 21: Nugget dan fries seperti biasa dan aku dengan nasi berlauk sambal udang. Tidak qiyamullail aaahhhh... Qayyim sakit perut dalam perjalanan ke sekolah. Singgah rumah Zela dulu beri peluang Qayyim menyelesakan perutnya....

Apalah yang boleh dimasak untuk berbuka nanti? Fridge hampir kosong, bahan mentah habis. Akhirnya goreng mee teow. Tapi bahan kurang, kicap pun tinggal sikit saja. Rasanya kurang enak pulak aku rasakan. Tarawikh di surau lepas hantar Amir ke tuition. Dapur di serang ulat sejak semalam. Lepas jemput Amir dari tuition, ahli lelaki keluarga kami bersihkan dapur. Yang tersayang hingga naik ke atas siling nak melihat punca. Rupanya ada anak kucing mati di atas siling. Tapi pelik jugak ulat boleh travel dalam dinding dan keluar dari celah-celah dinding dapur. Itulah benarnya kata pepatah, ulat dalam batu pun boleh makan.

Ramadhan 22: Nugget dan fries seperti biasa dan aku dengan mee teow yang aku panaskan dan tambahkan secukup rasa. Dapat qiyamullail. Tapi manisnya tak dapat aku rasakan lagi. Ke pejabat dekat-dekat jam 10. Batuk-batuk. Entahlah tak tahu aku samada ubat yang doktor bagi berkesan atau tidak. Fridge memang dah kosong. Nadzirah beli kuih dari bazaar dan selepas maghrib ke gerai MBSA dekat rumah. Qayyim dengan sup gearbox, Amir dan Nadzirah dengan sup ekor dan aku dengan nasi goreng padprik. Yang tersayang tidak order apa-apa, makan bersama-sama menu yang kami order. Begitulah, walaupu sesimple mana pun masakan di rumah, yang tersayang lebih berselera. Bergegas ke surau untuk bertarawikh kerana azan isya’ dah berkumandang semasa meninggalkan gerai. Selepas tarawikh ke rumah Joe ambil tempahan baju-baju. Wahh... cantik jahitannya. Crepe batik Terengganu yang aku punya begitu cantik ha ha ha perasannn. Melihat baju melayu yang tersayang dan anak-anak senang hati rasanya, barulah cantik jahitannya.

Ramadhan 23: Nugget dan fries macam biasa. Berdikit-dikit aku menggoreng kerana minyak masak tinggal sikit saja. Nugget dan fries pun yang terakhir. Qiyamullail. Ke pasar dengan Nadzirah sementara yang tersayang ke workshop di pekan Subang. Tali selipar Nadzirah putus.Terpaksa dia berjalan sambil menyeret selipar. Terjumpa nyonya jual mainan dan selipar. Hmm warnanya begitu terang. Yang menarik nyonya tak pandai berbahasa melayu, apek gerai sebelah jadi translator. Nadzirah pilih warna biru harganya RM5 setelah ditawar. Begitu seronok nyonya bila aku mengira wang dalam bahasa cina, ei, erk, san serk, wu...Dan sambil berlalu aku ucapkan, kamsiah.... Dia pun mengucapkan kamsiah.... Terus ke Econsave. Penuh troli sebab dapur kami sudah hampir kosong. Jumpa Kak Midah dan Abg Nordin. Bershopping untuk buat kuih raya. Dia menegur troli kami yang penuh dan menyangka bahan-bahan untuk buat kuih raya. Aku ketawa, semuanya bahan-bahan untuk dimasak untuk berbuka dan bersahur, kataku. Belum ada terfikir lagi untuk buat kuih raya pun.

Lepas Dzohor ke Plaza Alam Sentral untuk shopping baju raya anak-anak serba sedikit. Sebenarnya aku yang terlalu seronok sebab sudah lama tidak membeli belah begitu. Amir dan Qayyim dua helai kemeja seorang. Amir seperti biasa pilih warna hitam dan putih. Qayyim pula warna maroon dan biru gelap. Amir sepasang seluar jeans sementara Qayyim dan yang tersayang sepasang seluar slack seorang. Nadzirah dapatkan selendang dwi warna, hitam dan cokelat. Nadzirah tanya, ibu tak beli apa-apa? Aku ketawa seraya berkata, dah cukup. Almari bajuku pun hampir pemuh dah....

Berbuka dengan sotong masak merah dan sayur bayam. Licin semuanya. Bertarawikh di surau. Bilangan jemaah bertambah kepada dua saf, alhamdulillah. Aku rasakan kerana masing-masing hendak mengejar pahala sepuluh malam terakhir. Madinah tanya, akak dah buat kuih. Aku senyum dan jawab, sebiji kuih raya pun tak buat lagi, sibuk kerja tahun ni. Bila agaknya aku akan sempat buat kuih raya ni???

Ramadhan 24: Nugget dan fries macam biasa. Aku dengan sebiji telur goreng dan fries. Qiyamullail. Sempat lelap mata beberapa minit sebelum azan subuh. Hai berat sungguh hati ini nak ke pejabat. Hati dah nak beraya sebenarnya..... Nabiha dan Zaiharis, pelajar-pelajar ku datang selepas kelas mencurah perasaan mereka

Pulang awal sedikit 3.30 pm. Memang takda mood nak bekerja. Berbuka dengan lauk kari ayam. Yang tersayang tak lalu makan kerana badan terlalu letih. Ramai pelanggan di kedai. Amir tuition. Hantar Amir ke tuition dan kemudian ke surau.

Ramadan 25: Nugget dan fries macam biasa. Aku dengan nasi dan kari ayam. Qiyamullail. Ish memang takda mood sungguh nak bekerja. Tersalah masuk kelas. Ke tingkat 8 jam 10 pagi. Hairan kenapa Tew berada dalam kelasku. Aku telefon Nabiha. Kelas kita kat mana hari ni, tanyaku. 0841, jawabnya. Tapi kenapa kelas ni tak habis-habis, tanyaku lagi. Nabiha kata, kelas kita pukul 2, puan. Ha ha ha aku ketawa dalam hati. Rupanya salah ingat. Bukan kelas Integrated Management tapi kelas Managing people and systems di tingkat 14. Kelam kabut aku kembali smeula ke pejabat. Ambil buku berkenaan dan bergegas ke tingkat 14. Itulah teruja sangat hendak bercuti.... Hari ni berbuka sangat simple. Cencaru goreng sumbat sambal dan sup sayur carrot dan cauliflower. Tapi yang tersayang, Qayyim dan Nadzirah berselera dengan ikan cencaru. Amir dan aku dengan lauk kari semalam. Amir memang kurang minat dengan ikan melainkan kalau ikan masak kari atau asam pedas. Itupun tengok jenis ikan. Tarawikh malam ni seronok sebab ada kelainan. Anak Imam Zul mengimamkan kami. Umurnya baru 14 tahun. Aduh.... terbuai emosi menghayati patah-patah ayat Al-Quran yang dibacanya. Sudah tentu ayah dan ibunya bangga punya anak begini. (Heee sebenarnya anak Imam yang ini suka dengan Nadzirah. Ketika kami baru pulang dari Australia, dia bertanya-tanya kawan-kawan tentang Nadzirah. Eh kalau dapat menantu macam ni pun sangat bagus kan ha ha ha).

Ramadhan 26: Nugget dan fries macam biasa. Aku dengan nasi dan kari ayam yang sudah masuk hari kedua. Tak nak membazir. Nadzirah batuk-batuk. Qiyamullail terasa nikmat. Hari ni ke pejabat dengan perasaan lapang. Ada quiz dan satu kelas tentang organisational behaviour. Topik yang aku suka. Oleh itu persediaannya mudah bagiku. Yang paling seronok ialah esok aku mulai cuti yeahhh. Ke klinik Dunia Medik lagi sebab Nadzirah mula demam. Jumpa Dr Saemah. Aku memang biasa dengannya sejak anak-anak masih baby lagi. Malam semakin bingit dengan bunyi mercun. Solat tarawikh.

Ramadhan 27: Nugget dan fries macam biasa. Qiyamullail. Hari ni mula cuti. Tapi terpaksa ke shah Alam juga sebab Amir masih ada satu paper trial exam hari ni. Ke pejabat Lon pagi-pagi sebab perlu hantar email kepada Gary. Tinjau-tinhau TKO. Masih belum sempat hantar episod terbaru.

Tinggalkan office hampir jam sebelas. Ke PAS. Beli t-shirt untuk Abah sehelai dan baju kurung untuk Emak mertua ku. Ke Giant seksyen 18 mencari barang-barang untuk dibawa pulang ke Terengganu dan bahan-bahan buat kuih. Kalau sempat esok nak juga buat kuih sejenis dua. Tunggu anak-anak di depan sekolah. Seronok masing-masing sebab esok sekolah pun cuti. Dan kami akan bertolak ke Terengganu. Kata yang tersayang, lepas solat Jumaat.

Ramadhan 28: Nugget dan fries macam biasa. Qiyamullail. Bangun sangat lewat lepas subuh. Yang tersayang pun dah mula tutup workshop. Enaknya rasa bercuti. Mengerah anak-anak tukar langsir dan vacuum rumah. Aku dan Nadzirah mula menguli kuih tart nenas. Nadzirah bercita-cita nak buat cornflakes madu. Tapi sebab kesuntukan masa dan dia pun tak sihat, kami batalkan plan tersebut. Siap juga tart kami, tapi tak banyaklah, Cuma ½ kg tepung. Jadilah... Mula packing beg dan barang-barang termasuk kuih-kuih. Yang tersayang berehat sungguh. Duduk di sofa sambil menonton tv. Aku biarkan. Memang dia tersangat jarang punya masa untuk bersantai begitu. Hinggakan waktu dzohor sudah hampir pun dia tak sedar. Bergegas dia dan anak-anak ke masjid. Lepas solat jumaat, anak-anak dan yang tersayang mula memasukkan barang-barang ke dalam kereta. Anak-anak pun seronok sama sebab tahun ini kami memang terlalu jarang bercuti. Yang tersayang sibuk dengan workshop yang baru setahun jagung. Aku pulak sibuk dengan thesis. Harapnya hujung tahun ini aku akan selesai. Tapi yang paling ketara excitednya ialah Amir. Maklumlah baru habis trial exam. Aku pun terasa stress dia periksa. Kain baju banyak sungguh yang tidak sempat dilipat. Bulan Ramadhan memang aku tidak sempat untuk selesaikan melipat baju. Aku sangkutkan di kerusi panjang. Balik dari kampung nanti sajalah akan aku selesaikan. Jam melebihi tiga petang kami pun berangkat. Singgah di gerai lemang Meor tinggalkan pesan untuk beri makan kucing kami yang seekor.

Perjalanan tenang dan cuaca pun mendung. Sesekali melalui hujan. Berhenti solat asar di masjid Karak. Aku memang suka solat di masjid ini. Teringat arwah bapak. Dia pun suka solat di situ. Bukannya selalu pun. Seingat aku cuma dua kali saja dia ikut kami ke KT. Tapi selalu juga bapak ulang bercerita tentang masjid tersebut. Mungkin persekitaran yang bersih dan tenang. Aku juga rasakan yang AJK masjid begitu ikhlas menjalankan kerja-kerja mereka sehingga musafir yang singgah pun akan merasa begitu tenang dan selesa. Tiba di Kuantan apabila hari merangkak maghrib. Amir begitu cepat mengingatkan kami yang waktu berbuka lebih awal dari KL. Kami berbuka dulu dengan buah kurma. Berhenti di gerai yang agak luas juga. Menunya seperti biasa juga. Tapi selera kami sangat berlebihan. Licin semua pinggan yang berisi lauk dan nasi. Kami niat jamak takhir sahaja. Moga Allah selamatkan kami dalam perjalanan dan dapat menunaikan solat jamak nanti, insyaallah. Sms Normi. Rupanya dia sudah di Terengganu sejak Selasa lagi. Ayahnya masuk hospital. Berjanji akan berjumpa raya nanti.

Tiba di Kampung Paya kira-kira jam 11 malam. Bahagia rasanya dapat peluk emak dan Acik.

Ramadhan 29: Hari teraknir puasa. Dapat juga kami bersahur di Terengganu. Amir dan Qayyim pun berselera juga bersahur walaupun bukan nugget dan fries. Seperti biasa kami ke pasar payang. Emak nak beli ayam dan kelapa. Aku berjaya pujuk Emak supaya beli santan. Yea yea tak payah perah kelapa!!!! Betapa seronoknya aku. Balik ke rumah kami terus bertungkus lumus memasak. He he he sebenarnya Emak, Acik dan dua anak acik (Mek Da dan Atikah) yang lebih usahanya daripada aku. Aku tolong potong ayam dan goreng ayam. Selebihnya tolong sesikit. Anak dara dua orang tu amat rajin di dapur. Acik anyam kelongsong ketupat nasi. Aku ni setiap kali raya belajar anyam ketupat tapi tak pernah pandai. Jadi tahun ni pun aku tak mahu nak tunjuk kepandaian aku (atau menyerlahkan kebodohan aku!!!), cuma tolong kemaskan anyaman achik saja heh heh heh. Melihat usaha tungkus lumus kami, Abah tegur, masak semua, raya ke esok? Aku jawab dengan bersungguh, raya esok, Abah. Tapi Emak pun macam tak pasti. Dia cuma siapkan rendang, ayam masak merah dan ketupat untuk berbuka. Lepas pengumuman yang esok raya bersambung lagi tungkus lumus kami. Aku surrender jam 12 malam setelah selesai menggosok baju. Mek Da tidur paling lewat. Lepas jam 2 pagi. Memang nak kena belanja Mek Da dengan Atikah ni.

Dan kami pun menyambut raya, alhamdulillah........

Ramadhan 1430H/2009M