Thursday, September 16, 2010

Riang Ria Hari Raya

Hari ini sudah 8 Syawal. Ada yang sudah selesai puasa 6, alhamdulillah. Aku masih belum mula pun lagi. Mudah-mudahan ada kekuatan untuk melakukannya, insyaallah.

Berhari raya kali ini giliran beraya dgn emak sendiri bukan mertua. Ada juga rasa sedih di hati mengenangkan mertua di Terengganu, entah siapalah anaknya yang akan datang menjenguk.

Berhari raya di Mutiara Rini (MR) rumah Ica, adik yang bongsu. Emak memang sudah di sana semenjak mula puasa lagi. Sampai di MR jam 1.30 pagi Khamis. Yang tersayang memanglah kepenatan memandu selama 4 jam dari S.Alam. Maka lebih separuh dari hari Khamis habis di katil. Aku bersama Ica ke pasar sekitar 8 pagi. Membeli belah lauk-pauk. Agaknya selagi belum tiba hari raya ada sahaja bahan masakan yang hendak dibeli. Haaa.... bukan sahaja bahan masakan, aku sempat menyauk beberapa balang kuih di pasar.

Malamnya sangat meriah. Zela juga sudah sampai dari S. Alam dan Ani sampai waktu berbuka dari Singapura. Seronok berjumpa sikembar Rina & Sara. Cuma Zul, abang tunggal dan anak sulung emak sahaja yang ditunggu ketibaannya dari Gombak. Mereka sebenarnya ke Seremban dulu kerana menjenguk mertua yang tidak sihat.

Riuh rendah jamuan makan berbuka dibawa ke selepas waktu maghrib. Fiqa, cucu sulung emak kehilangan "braces" gigi. (Sebenarnya salah letak. Dijumpai semula pada hari Isnin selepas raya sewaktu sedang bersiap-siap untuk pulang semula ke KL.)

Jam 12 tengah malam aku sudah lena. Tapi dikejutkan oleh Amir, Ibu seluar Amir berlobang, katanya. Aku bingkas bangun lalu pergi mendapatkan seluar baju melayu yang berlobang terkena seterika panas. Becok mulut berleter. Sudah diingatkan supaya berhati-hati ketika menggosok baju. Aku cuba jahit mencantumkan semula lobang. Nasib baik di bahagian agak atas, akan tertutuplah dengan kain sampin.

Setelah solat Subuh bermulalah giliran mandi. Tiba-tiba Iman pula mendapatkan Zela dan berkata dengan nada yang suspen, Mama, baju Abah tertinggal. Ha ha ha seperti aku juga, Zela berleter sebentar. Dia juga telah meminta anak-anaknya yang ber5 (perempuan semuanya tu) supaya memasukkan baju abah mereka ke dalam beg. Malang sekali tiada yang membuatnya. Asree menayangkan koleksi baju-baju melayu. Akhirnya ada juga sepasang yang padan walaupun warnanya agak lari sikit dari ahli keluarga yang lain.

Setelah usai solat sunat, makan lagi. Kemudian ke rumah emak Asree, mertua Ica di Skudai. Setelah itu mereka berangkat ke Singapura. Hujan agak lebat. Kami ke Hotel Kelana, tempat Mak Nap di Skudai juga. Sesampai saja aku terus turun dgn buru-buru. Bukan apa, melihat Mak Nap anak beranak semuanya sudah di dalam kereta. Rupanya mereka sudah mahu berangkat ke kampung di Pontian. Kerena menghormati kami sebagai tetamu, semua mereka turun semula....

Pulang ke MR hari sudah hampir Dzohor. Yang Tersayang dan anak-anak lelaki ke masjid untuk solat Jumaat. Menggunakan google untuk cari masjid yang terdekat. Setelah Dzohor, aku pujuk yang tersayang supaya mencari sepupu yang lebih 10 tahun tidak bertemu. Tanpa alamat dan nombor telefon dia berusaha menjejaki rumah Rosid di Tmn Tun Aminah. Lebih setengah jam berpusing-pusing di kawasan yang sama akhirnya bertemu juga. Huh!!! memang juara yang tersayang ni. Rosid dan kak Sham sangat berbesar hati sehinggakan bermacam hidangan di keluarkan, spagheti, nasi impit, kuah kacang, pulut.... Perut semakin rasa berat ha haiiii.... Singgah di Jaya Jusco belikan emak sandal. Memang berhajat hendak belikan kerana sandal Emak sudah dua tahun. Cuma tidak sempat membeli ketika bulan puasa. Sibuk dgn kerja.

Raya kedua, berhari raya sekitar JB, rumah sepupu2 yang merupakan anak2 saudara arwah Bapa. Masing2 sudah meningkat umur, sudah bercucu dan ada yang sudah uzur. Walaupun gembira kerana umur masih panjang untuk bertemu namun ada rasa sedih...

Hari ketiga, perjalanan agak jauh, ke Pontian. Sudah tidak ramai yang dapat dikunjungi kerana ramai orang2 tua sudah tiada dan anak2 pula tidak tinggal di kampung. Ke rumah Abg Yassin yang menguruskan kebun arwah Bapa di Parit Wer. Ke rumah Nenek Kecik, adik bongsu arwah Tok. Tinggalkan anak2 di situ dan kami patah semula ke Parit Wer dengan tujuan utk melihat kebun sawit. Agaknya apalah kata Abg Yassin melihatkan kami yang masing2 bawa MPV nak masuk ke kebun. Jalan memanglah sgt sempit.

Wish terjongkit di bahu jalan ketika yg tersyg hendak berpatah balik. Dan yang paling menggelikan hati bila Zela pula terjatuh setelah kaki terperosok ke dalam lubang. Dengan baju kurung, handbag dan high heels..... all fell in one go ha ha ha. Sampai hari ini jadi bahan ketawa kami. Errr.... sorry Zela...... but cannot help it.... HA HA HA HA HA HA HA............

Memang agak kecoh raya kami. Itu tidak lagi termasuk teriak, ketawa, tangis anak yg kecil, bunga api, leteran para emak, ayah etc etc..... Tapi seronok....

Monday, August 30, 2010

Ramadhan

Hari ini sudah hari ke20 Ramadhan. Begitulah lemahnya manusia, dalam mencuba untuk merebut pelbagai peluang, masih ada peluang yang keciciran. Cuma mengharapkan umur masih panjang hingga Ramadhan akan datang untuk mencuba merebut peluang lagi.

Kematian. Kematian memang akan datang walau tak dijemput dan selalunya ia datang tidak diduga. Semalam seorang jiran, Haji Abu Bakar telah kembali ke rahmatullah. Pemergian agak mengejut. Hanya sesak nafas pada malam minggu dan kemudian menghembuskan nafas yang terakhir. Sewaktu melawat, ada rasa simpati kepada isteri yang ditinggalkan, Makcik Jah. Suami yang telah berkongsi hidup beberapa dekad telah meninggalkan dirinya dan keluarga. Menyaksikan Makcik Jah, terimbau kembali saat bapa pergi meninggalkan kami 11 tahun lalu. Emak sangat tabah melalui dugaan itu. Namun hingga hari ini beberapa barang bapa dia simpan antaranya peti ais dua pintu (frost akan menjadi sgt tebal jika lama tidak di "defrost"), penapis air (walau sekarang ini ada produk yang lebih canggih) dan setiap malam sehelai kain pelekat bapa berwarna biru Emak buat selimut kakinya.

Makan dan makanan. Sebagai ibu yang bekerja, aku memang sentiasa memilih menu yang mudah untuk disediakan tambahan di bulan Ramadhan ini. Kalau bazaar Ramadhan menjadi kunjungan umat Islam untuk berbuka, kami sekeluarga tidak gemar dengan bazaar ramadhan. Makanan yang dibeli tidak pernah sedap. Tapi aku tidak pernahlah lagi ke tempat lain untuk membeli juadah berbuka. Cuma yang pasti bazaar ramadhan di kawasan rumah kami memang tidak boleh dijamin mutu menunya. Lebih baiklah masak sendiri, walau sesimple mana menunya, tiada yang mengeluh tidak sedap. Sepanjang bulan Ramadhan aku pulang awal sekitar jam 4 petang. Selalu juga singgah di kafe membeli sedikit kuih dan ada kalanya lauk. Setelah mengambil anak-anak dari Seksyen 24 akan sampai di rumah dalam jam 5.30 petang. Setelah solat Asar, aku pun mulalah bersilat di dapur. Kalau lauk sudah dibeli, lebih mudah kerja memasak.

Suami. Workshop suami sangat sibuk. Setiap kali ada lebihkurang 10 buah kereta tersadai di workshopnya. Tak terkejar gayanya. Namun, aku lihat dia tenang aje. Ada mekanik yang bekerja dengannya tapi tidak kekal. Siapalah yang sudi hendak bekerja yang mengotorkan tangan dan pakaian melainkan jika sangat minat. Mekanik yang ada sekarang ini nampak gayanya bagus cuma susah bangun awal di bulan Ramadhan. Tak tahulah kenapa puasa sentiasa dijadikan alasan untuk tidak produktif. Tapi alhamdulillah setelah ditegur, dia nampaknya ada usaha untuk cuba datang kerja. Hari Sabtu baru ni, terpaksa dipanggil bantuan pelajar giatmara. Barulah selesai beberapa kereta pelanggan. Malah semalam (Ahad) mereka semua di workshop menyiapkan lagi beberapa buah kereta.

Dan bila sudah menjejak 20 hari berpuasa, rasa hendak bercuti semakin kuat. Kurang mood untuk bekerja ha ha ha.... Minggu hadapan kelas sudah tidak ada. Anak-anak murid meminta cuti lebih awal. Jadi kelas-kelas pun perlu diganti. Hari Jumaat ini hari terakhir kelas. Esok pula cuti sambutan ulangtahun kemerdekaan. Jadi hanya tinggal tiga hari untuk mengajar dalam kelas...

SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KEMERDEKAAN YANG KE53

Tuesday, July 6, 2010

Pelajar sekolah dilacurkan

Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my

SALAH satu lorong belakang sebuah rumah kedai yang menjadi lokasi pelacuran di Jalan Tun Ali, Melaka.

MELAKA - Banyak sindiket pelacuran yang dibongkar oleh polis lazimnya melibatkan wanita warga China, Thailand dan Filipina tetapi di negeri ini lain pula ceritanya apabila pihak berkuasa menumpaskan sindiket persundalan membabitkan pelajar sekolah menengah.

Difahamkan, pelacur muda berusia belasan tahun tersebut dipaksa melayan sekurang-kurangnya seorang lelaki sehari dengan bayaran antara RM60 dan RM80.

Ketiga-tiga pelacur berkenaan merupakan remaja yang lari dari rumah sejak dua bulan lalu dan tinggal bersama seorang ibu ayam di sebuah rumah di Duyong di sini.

Dua daripada mereka tidak lagi menghadirkan diri ke sekolah manakala seorang lagi telah berhenti belajar beberapa tahun lalu.

Sejak beroperasi dua bulan lalu, mereka dipercayai telah melayan tidak kurang 130 lelaki.

Bagaimanapun, kelicikan sindiket itu tiba ke penghujungnya kelmarin apabila polis negeri ini menahan tiga pelacur berkenaan, seorang ibu ayam dan dua pembantunya yang mana salah seorang daripada mereka merupakan anggota tentera berusia dalam lingkungan 20-an.

Peranan anggota tentera tersebut ialah membantu ibu ayam berkenaan mencari pelanggan dan menghantar pelacur-pelacur itu ke dua buah hotel murah di Jalan Tun Ali di sini untuk melakukan hubungan seks.

Kesemua mereka ditahan pada pukul 3 petang di sebuah rumah di Duyong di sini selepas polis mendapat maklumat daripada seorang remaja yang mendakwa dipaksa oleh ibu ayam itu untuk melacur.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0707&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Memang bukan perkara baru. Tapi berita seumpama ini selalu menyentuh hati dan perasaan. Apakah sudah cukup keprihatinan kita dalam menangani gejala sosial? Apakah lagi yang mesti kita lakukan?

para pemberita yang melaporkan... adakah sekadar cukup dengan hanya menulis di dada akhbar? Tidak terfikirkah untuk mengorak selangkah lagi untuk sama-sama membantu mengurangkan gejala sosial yang tenat ini???

Saturday, May 15, 2010

HARI GURU

Tiap kali datang hari guru mesti teringat guru2 sejak dari darjah satu. Walaupun telah berdekad berlalu, saya masih terbayang hari pertama persekolahan. Wajah arawah bapa di tingkap melihat saya di meja paling hadapan di dalam kelas.

Cikgu Marziah. Beliau mengajar saya mengenali huruf. Dan setelah pandai membaca, habis saya geledah buku-buku di rumah yang memang tidak banyak. Paling seronok dibaca ialah buku Ilmu Alam (Geografi) dan Tawarikh (Sejarah) kepunyaan kakak dan abang. Buku-buku seperti ini saya baca berkali-kali kerana tidak ada buku lain di rumah kami almaklumlah kami bukan orang senang. Arwah bapa hanya seorang buruh manakala emak pula suri rumah. Saya tidak pernah ingat Cikgu Marziah marah kepada kami walaupun ada yang nakal di waktu itu. Cuma wajah tegas tapi penuh belas kasihan. Saya tidak akan dapat melupakan Cikgu Marziah kerana dia yang telah menunjukkan dunia yang terlalu luas untuk saya teroka ... hanya dengan membaca.

Puan Kamariah, guru besar Sekolah Rendah Jalan Padang Tembak II. Jalan Padang Tembak kini dikenali sebagai Jalan Semarak. She's the BEST GURUBESAR. Wajahnya putih bersih, rambut bersanggul rapi, cermin mata bingkai warna emas, dan lipstik merah. Saya sangat senang melihat wajahnya walaupun ada kala sebagai murid sekolah rendah ada rasa takut bila berdepan dengan guru besar. Masih terbayang suara tegasnya menegur dan memarahi rakan-rakan yang nakal. Namun, rakan-rakan yang nakal ni tidak pernah takut kepada Puan Kamariah... malahan mereka sangat menghormati dia. Saya rasa tidak pernah mendengar rakan-rakan mengatakan benci atau tidak suka kepada beliau. Puan Kamariah mengenali saya, abang, kakak dan adik-adik saya. Dan saya percaya dia juga mengenali sebahagian besar anak-anak murid yang lain. Sungguh saya kagum dengan Puan Kamariah.

Terima kasih, cikgu....

Thursday, February 4, 2010

salah siapa

Banyak gerai yang menjual pelbagai barang tumbuh macam cendawan di sekitar taman perumahan baik di kawasan bandar mahupun luar bandar. Kebanyakannya gerai makanan, minuman dan buah-buahan. Ada antara mereka yang “terpaksa” menukar haluan hidup kepada bidang perniagaan kecil-kecilan setelah hilang pekerjaan akibat cuaca ekonomi yang tidak tentu. Ada yang memang sudah berniaga dalam skil yang kecil begitu selama bertahun-tahun lamanya. Sebenarnya ada antara mereka ini boleh dikatakan berjaya juga. Contohnya mereka mampu membeli kenderaan yang diubahsuai untuk tujuan perniagaan. Biasanya lori kecil bersaiz setengah tan.

Namun keadaan gerai-gerai seperti ini sebenarnya mendatangkan masalah. Kakilima tempat mereka berniaga sebenarnya adalah kawasan “larangan”. Ini kerana kedudukan gerai boleh menganggu lalulintas apabila banyak kenderaan yang berhenti. Juga ia menyebabkan keadaan yang tidak selamat kepada aliran trafik. Akibatnya mereka ini sering disaman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, keadaan ini mendatangkan pemandangan tidak indah apabila keadaan gerai ada yang agak daif atau tidak kemas atau tidak bersih. Tempat membuang sampah yang tidak sempurna memburukkan lagi keadaan. Ketika lalu di hadapan mereka ini terasa seperti bukan berada di sebuah bandaraya. Ada kala terasa seperti tidak berada di negara Malaysia yang kita katakan “gah” di mata dunia. Ada kala terasa seperti berada di negara dunia ketiga.

Kenapa mereka ini masih terus berjuang mencari rezeki di kakilima jalan sedangkan banyak bangunan-bangunan rumah kedai didirikan? Malah ada antara gerai-gerai ini terletak di hadapan restoren di premis rumah kedai. Kenapa mereka ini tidak dapat berniaga di premis kedai dalam keadaan yang lebih sempurna? Kenapa mereka ini sanggup menghadapi risiko disaman dan dirampas “harta” perniagaan yang tidak seberapa?

Jawapannya amat mudah, mereka tidak mampu untuk menyewa apatah lagi membeli premis yang sempurna untuk perniagaan mereka. Sebagai menangani masalah ini, ada kerajaan negeri atau PBT yang membina tapak-tapak gerai untuk menempatkan mereka dan mengenakan kadar sewa yang rendah. Tetapi ada yang mengambil kesempatan pula bila diberi peluang yang begini. Ada yang telah diluluskan permohonan mereka untuk berniaga di tapak-tapak perniagaan begini, tetapi kemudian disewakan pula kepada orang lain dengan kadar yang lebih tinggi daripada yang dibayar kepada PBT atau kerajaan negeri. Mereka sekarang bergelar tuan kedai pula dan mengambil untung “atas angin”. Selain itu keadaan tapak-tapak perniagaan seperti ini kurang atau tiada seliaan langsung dan akibatnya setelah beberapa tahun keadaannya juga menjadi uzur dan menyebabkan pemandangan yang “tidak indah” kembali semula.

Apabila keadaan begini tidak pernah berubah selama berpuluh tahun, sudah tiba masanya kerajaan negeri bersama dengan PBT membuat perubahan di dalam menangani masalah ini. Membina tapak-tapak perniagaan untuk penggerai tidak patut dilakukan lagi memandangkan akan mengganggu pelan asal kawasan pekan atau bandar. Daripada membina bangunan atau premis lain, sebaiknya pihak berkuasa membeli sahaja rumah-rumah kedai yang telah siap dibina tetapi masih belum laku atau yang masih tidak beroperasi dan kemudian menyewakan kepada pengerai-penggerai ini. Mungkin sebuah unit kedai dikongsi oleh beberapa penggerai.Contohnya, sebuah unit kedai boleh menjadi seperti satu “mini food court” dengan jualan seperti nasi campur, nasi ayam, minuman, buah-buahan, burger, kuih-muih dan sebagainya. Sebenarnya masih terlalu banyak rumah-rumah kedai yang kosong walaupun di sekelilingnya taman-taman perumahan yang sudah penuh berpenghuni.

Namun perlaksanaannya mestilah lebih teliti dan dirancang dengan strategik. Masalah-masalah seperti bil air, elektrik dan selenggaraan mesti menjadi sebahagian dari perancangan strategik. Kawalan mesti dilakukan sepanjang masa untuk memastikan kebersihan dan “keindahan” kedai.

Jika ini dapat dilakukan dengan sistematik dan strategik, mungkin keadaan gerai-gerai yang melata yang ada kala menyakitkan mata memandang dapat dikurangkan ataupun dihapuskan sama sekali. Ini merupakan cabaran kepada kerajaan negeri dan PBT.

Monday, February 1, 2010

SETINGGAN DI MASJID NEGARA

Sedih bila membaca tentang ini. Pastinya mereka ini menghadapi kesusahan sehinggakan tidak mampu untuk menyewa rumah. Seperti yang terdapat di dada akhbar hari ini, ada yang telah diberhentikan kerja kerana penyakit, dan ada yang gajinya hanya cukup makan dan minum makanya tidak mampu untuk menyewa bilik di tengah kota yang serba mahal ini.

Tapi lebih menyedihkan lagi apabila persoalan ini ditolak ke tepi dan ke tengah. DBKL mengatakan ianya masalah JAWI. JAWI? Bukankah Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah pihak yang lebih tepat? Menyedihkan juga apabila JKM langsung tidak memberikan respon. Dari aspek ini rasanya lebih bertuah si penagih dadah sebab Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersedia untuk menahan penagih dadah yang bermalam di Masjid Negara. Jika ditahan sudah tentu ada tempat tinggal dan sumber makan dan minum walaupun hanya di pusat serenti.

Tapi kesedihan yang mengatasi segalanya ialah apabila pihak Masjid Negara langsung tidak memberikan tindakbalas atas masalah ini. Sepatutnya di sinilah masjid boleh memainkan peranan di dalam menghadapi masalah kemiskinan begini. Apalah salahnya jika pengurusan masjid mengumpulkan mereka ini dan menyelami masalah mereka. Gunakan dana masjid ataupun membuat kutipan dana untuk tujuan ini sahaja. Kita sebenarnya boleh mengambil contoh gereja-gereja di luar negara (dan mungkin juga dalam negara) dan juga beberapa buah masjid di Amerika Syarikat, di mana mereka menyediakan perlindungan untuk mereka yang “homeless” ini. Pada hari-hari tertentu, pihak gereja atau masjid ini akan menyediakan makanan untuk mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak berlapar untuk beberapa hari dalam seminggu.

Sebenarnya banyak yang boleh dilakukan oleh pihak masjid. Inilah salah satu cara masjid memainkan peranan sebagai “pelindung” terutama kepada umat Islam sendiri. Mungkin pihak masjid dapat menyediakan tempat tidur yang “ala kadar” supaya pemandangan “indah” masjid tidak dicemari.Apalah guna keindahan kalau hanya untuk ditatapi bukan dikecapi. Apalah guna keindahan kalau tidak semua lapisan masyarakat dapat menikmatinya terutama sekali umat Islam itu sendiri. Jika tidak mampu untuk menanganinya, pihak masjid perlu menyalurkan masalah ini kepada pihak yang tertentu bukan mendiamkan diri dengan masalah yang di depan mata.