Saturday, December 19, 2009

Tudung oh tudung

Sebagai memenuhi perintah Allah ramai dari kaum wanita bertudung. Rasanya semua maklum dari mana datangnya perintah ini. Kalau sudah wajib seperti yang dikalam oleh Allah, maka tanpa soal jawab, wajib kita mematuhinya. Maka berduyun-duyunlah kaum perempuan meletakkan sehelai kain menutup rambut mereka. Namun masih ada lagi yang berduyun-duyun yang masih belum lagi. Ada yang kata, tunggu seru. Ada yang kata, tutup rambut tapi hati busuk nak buat apa. Dan macam-macam lagilah. Apapun sendirilah yang menilai diri. Jangan pula kita menilai orang lain hanya kerana tidak bertudung ataupun bertudung.


Dua hari lepas, berjalan-jalan dengan yang tersayang setelah kepala dan otak berasap-asap di pejabat. Kami ditemani dua orang putera dan puteri kami. Yang sulung tinggal di rumah. Ketika menunggu makanan siap di food court, adalah seorang wanita yang juga menunggu seperti kami. Bertudung tetapi hampir keseluruhan lengannya terdedah. Walaupun bukan pertama kali aku nampak wanita berpakaian begini, tapi mata ni masih sakit melihat mereka berpakaian begitu. Kenapalah pendek sangat jangkauan akal kita. Jika sudah firman Allah untuk melabuhkan hijab menutupi dada, bermakna tutuplah semuanya kecuali muka dan tapak tangan seperti yang kita belajar di sekolah. Sempat aku membebel dan didengari puteri kami. Katanya, ibu tulislah kat blog ibu. Aku senyum.

Aku terasa sangat tersinggung. Terasa seperti dia mempermain-mainkan hukum Allah. Apakah kerana tidak faham? Entahlah.

Pernah dulu seorang teman memakai pakaian "midi", baju paras lutut tetapi bertudung. Teman tionghua ku berkata, you also can wear your baju kurung without the kain! Ha ha ha begitulah sangkaan teman-teman kita yang bukan beragama Islam. Jadi, andainya mereka itu tidak faham tentang amalan kita, janganlah kita salahkan mereka. Kerana kita sendiri tidak mempamirkan amalan yang sebenarnya.

Sekarang ini musim cuti sekolah maka banyaklah majlis perkahwinan sana sini. Aku perhatikan sudah menjadi trend terutama di kalangan artis dan orang-orang kenamaan yang mengadakan resepsi 3, 4 kali. Di upacara pernikahan sungguh cantik, manis, ayu, bertudung litup. Di majlis resepsi? Ada yang mendedahkan dada lagi. Sungguh aku sendiri akan merasa tersinggung. Terasa seperti amalanku menutup aurat dipermain-mainkan kemurniannya. Kenapalah begini buta saudara seagamaku?

Sebagai seorang wanita, apabila kita berpakaian kita mahu cantik. Kalau kita rasa dengan menutup kepala dan mendedahkan lengan dan kaki itu cantik, cubalah bayangkan diri sendiri bertudung dan menutup lengan dan kaki. Aku pasti sudah tentu kita dapat lihat diri kita ini lebih cantik. Sekarang ini pelbagai fesyen pakaian ada. Pilihlah yang tercantik untuk agama dan diri kita sendiri.

Jadi aku ingin nak menyeru kepada yang terbaca coretan ini (dan terutama sekali untuk diriku sendiri), berilah peringatan kepada adik, kakak, isteri, ibu, makcik, dan teman, sehelai kain hijab walaupun kecil dan ringan, ianya adalah murni dan suci. Ia mesti dilakukan dengan sempurna. Carilah jalan supaya amalan yang walaupun kecil tetapi diwajibkan atas kita, dapat kita jalankan dengan sepenuh hati, dan dengan sebaiknya.

Maaf jika ada yang tersinggung. Tapi ini salah satu cara aku "menegur".