Friday, December 12, 2008

Erti Persaudaraan

Sabtu, 6 Disember 2008, ada jemputan ke Tanjung Karang. Tanjung Karang tempat suamiku dibesarkan walaupun dia dilahirkan di pantai timur sebenarnya. Teman suami mengadakan kenduri, anaknya berkhatan. Keluarga teman suamiku yang ini sudah seperti keluarga sendiri. Mengikut cerita mereka, rumah mereka bagai rumah kedua suamiku. Makan, minum, tidur tak kira waktu, selalu sahaja di rumah itu.

Kali akhir kami ke sana ialah aidil fitri baru lalu, menziarahi teman dan jiran lama suami. Kedatangan kami disambut meriah. Sebenarnya meriah kerana menyambut suamiku. Iyelah ada antara mereka yang bertahun-tahun tidak berjumpa dengan suamiku. Masing-masing galak mengusik. Ada yang kali akhir bertemu semasa lepas sekolah, atau selepas pernikahan kami. Riuh rendah di bawah khemah dengan gelak tawa kami dan mereka. Aku tahu suami ku senyum dan ketawa bukan sahaja di bibir tetapi di dalam hati juga. Terbayang kegembiraan di wajahnya bertemu dengan ahli keluarga angkatnya.

Sebelum pulang, kami naik ke rumah, menziarahi bapa angkat. Orang tua itu sudah hilang sebelah kaki akibat kencing manis. Walau hilang kaki, dia tidak hilang lidah. Bicaranya banyak seperti dulu, tidak berubah. Macam-macam yang dibicarakan, soal politik, ekonomi, berita dalam negara, luar negara. Memang tak padan dengan dirinya seorang petani. Fikriannya luas. Mindanya tajam. Seperti biasa, aku akan duduk di depannya dan mendengar celotehnya. Dan seperti biasa suamiku hanya tersenyum.

Tiba masa untuk meminta diri, ada pilu di wajah orang tua berdua itu. Berkali-kali emak angkat suami berkata, "Terima kasih sudi datang. Terima kasih masih ingat kami lagi." Aku sungguh-sungguh terharu. Sebenarnya, setiap kali menziarahi mereka, aku rasa begitu puas. Sukar untuk aku gambarkan, tapi perasaan aku begitu penuh dengan rasa bahagia. Dengan mereka, segala-galanya teramat tulus. Walaupun mengenali mereka hanya selepas berkahwin dengan suamiku, aku rasa sungguh dekat dengan mereka.

Thursday, November 27, 2008

Emakku Sayang

Bila membaca email kakak yang memberitahu emak berjalan menggunakan tongkat, hati jadi sayu. Tidak dapat ku bayanglan bagaimana rupa emak. Bila pulang ke tanah air, semua itu jadi realiti di depan mata.

Kini keadaan fizikal emak semakin hari semakin lemah. Tambahan selepas kena strok. Walaupun strok yang ringan, ianya menambahkan lagi sakit yang emak tanggung. Emak kini menggunakan tongkat melengkung seperti berbentuk U kerana kedua-dua kaki emak sudah tidak kuat untuk berjalan.

Hati ini sering terkilan melihat emak orang lain masih kuat untuk bergerak ke sana ke mari. Masih kuat untuk berjamaah di surau. Tapi emak aku......

Kini kalau ke mana-mana pun, kerusi roda menjadi salah satu barang yang kami angkut. Sesungguhnya semua itu tidaklah mendatangkan kesusahan buat kami. Tetapi aku dapat rasakan hiba hati emak. Ada kala dia berkata, susahkan engkau aje.... Kalau tidak ada kata-kata itu yang emak keluarkan, aku dapat rasakan lirikan matanya yang ada hiba.

Sungguh emak, mendokong mu pun aku sanggup. Apa saja untuk emak akan aku lakukan tanpa soal jawab, percayalah emak. Apa yang kami lakukan untuk emak sekarang tidak setimpal dengan kesusahan emak, keperitan emak, pengorbanan emak untuk kejayaan kami semua.

Aku sayang emak, sangat sayangkan emak.

Wednesday, November 26, 2008

Berbengkel

Bengkel selama 5 hari, Isnin hingga Jumaat. Bagus berbengkel begini untuk satu-satu tujuan tertentu. Perhatian lebih fokus. Haaaa tapinya................

Dalam bengkel-bengkel macam ni, soal makan memang sangat terjaga. Masanya tepat dan jadualnya juga tepat. Apa la lagi orang perempuan macam aku ni yang memang kerja part time memasak kat rumah untuk keluarga. Aku beri nama jawatan part time tu sebab dalam masa seminggu adalah 4,5 hari saja bekerja memasak untuk makan malam. Masak untuk makan tengahari????? Lagila jarang-jarang, teramatlah jarang. Masa yang dihabiskan di pejabat jauh lebih lama dari masa yang aku habiskan di dapur sendiri.... (Dosa tak???)

Berbalik kepada soal makan di bengkel, apabila dapat merasa keenakan masakan orang lain, intake pun ada lah sedikit lebih.

Baru tiga hari bengkel, rasanya dah bertambah berat badan ni. Heeeee nasib baik bengkel 5 hari. Kalau 10 hari? 20 hari? Ish ish ish tak boleh nak bayangkan.

Caterer kali ini pun dapat banyak pujian dari teman-teman bengkel. Sedap, kata mereka. Memanglah sedap, tapi tengok apa jadi pada weighing scale aku apabila aku naik atasnya. Geraknya ada jauh sikit dari yang dulu. Hu hu hu.....

Boleh agaknya aku bagi cadangan, lain kali booking caterer yang masakannya kurang sedap. Kuranglah kami makan. Boleh jimat belanja. Iyelah kita tahu masakannya tak sedap, jadi tentu ramai yang nak skip makan, makanan pun nanti tak habis. Jadi nak elak pembaziran bookinglah untuk bilangan yang sedikit. Haaaa ... contohnya kalau peserta dijangka 50 orang, bookinglah untuk 30, 40 orang saja. Bagus tak cadangan ni? Dalam keadaan ekonomi meleset macam hari ni, dapatlah majikan aku jimatkan perbelanjaannya apabila menganjurkan bengkel-bengkel begini. Betul kan????

Ha ha ha ada yang baling batu kat aku nih.....................