Monday, August 30, 2010

Ramadhan

Hari ini sudah hari ke20 Ramadhan. Begitulah lemahnya manusia, dalam mencuba untuk merebut pelbagai peluang, masih ada peluang yang keciciran. Cuma mengharapkan umur masih panjang hingga Ramadhan akan datang untuk mencuba merebut peluang lagi.

Kematian. Kematian memang akan datang walau tak dijemput dan selalunya ia datang tidak diduga. Semalam seorang jiran, Haji Abu Bakar telah kembali ke rahmatullah. Pemergian agak mengejut. Hanya sesak nafas pada malam minggu dan kemudian menghembuskan nafas yang terakhir. Sewaktu melawat, ada rasa simpati kepada isteri yang ditinggalkan, Makcik Jah. Suami yang telah berkongsi hidup beberapa dekad telah meninggalkan dirinya dan keluarga. Menyaksikan Makcik Jah, terimbau kembali saat bapa pergi meninggalkan kami 11 tahun lalu. Emak sangat tabah melalui dugaan itu. Namun hingga hari ini beberapa barang bapa dia simpan antaranya peti ais dua pintu (frost akan menjadi sgt tebal jika lama tidak di "defrost"), penapis air (walau sekarang ini ada produk yang lebih canggih) dan setiap malam sehelai kain pelekat bapa berwarna biru Emak buat selimut kakinya.

Makan dan makanan. Sebagai ibu yang bekerja, aku memang sentiasa memilih menu yang mudah untuk disediakan tambahan di bulan Ramadhan ini. Kalau bazaar Ramadhan menjadi kunjungan umat Islam untuk berbuka, kami sekeluarga tidak gemar dengan bazaar ramadhan. Makanan yang dibeli tidak pernah sedap. Tapi aku tidak pernahlah lagi ke tempat lain untuk membeli juadah berbuka. Cuma yang pasti bazaar ramadhan di kawasan rumah kami memang tidak boleh dijamin mutu menunya. Lebih baiklah masak sendiri, walau sesimple mana menunya, tiada yang mengeluh tidak sedap. Sepanjang bulan Ramadhan aku pulang awal sekitar jam 4 petang. Selalu juga singgah di kafe membeli sedikit kuih dan ada kalanya lauk. Setelah mengambil anak-anak dari Seksyen 24 akan sampai di rumah dalam jam 5.30 petang. Setelah solat Asar, aku pun mulalah bersilat di dapur. Kalau lauk sudah dibeli, lebih mudah kerja memasak.

Suami. Workshop suami sangat sibuk. Setiap kali ada lebihkurang 10 buah kereta tersadai di workshopnya. Tak terkejar gayanya. Namun, aku lihat dia tenang aje. Ada mekanik yang bekerja dengannya tapi tidak kekal. Siapalah yang sudi hendak bekerja yang mengotorkan tangan dan pakaian melainkan jika sangat minat. Mekanik yang ada sekarang ini nampak gayanya bagus cuma susah bangun awal di bulan Ramadhan. Tak tahulah kenapa puasa sentiasa dijadikan alasan untuk tidak produktif. Tapi alhamdulillah setelah ditegur, dia nampaknya ada usaha untuk cuba datang kerja. Hari Sabtu baru ni, terpaksa dipanggil bantuan pelajar giatmara. Barulah selesai beberapa kereta pelanggan. Malah semalam (Ahad) mereka semua di workshop menyiapkan lagi beberapa buah kereta.

Dan bila sudah menjejak 20 hari berpuasa, rasa hendak bercuti semakin kuat. Kurang mood untuk bekerja ha ha ha.... Minggu hadapan kelas sudah tidak ada. Anak-anak murid meminta cuti lebih awal. Jadi kelas-kelas pun perlu diganti. Hari Jumaat ini hari terakhir kelas. Esok pula cuti sambutan ulangtahun kemerdekaan. Jadi hanya tinggal tiga hari untuk mengajar dalam kelas...

SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KEMERDEKAAN YANG KE53