Saturday, December 3, 2011

PERJALANAN HAJI 3

15 Oktober 2011, Sabtu

Tiba di hotel Rashad Nageeb lebihkurang jam 2 pagi. Letih rasa seluruh tubuh.

Perjalanan kami biasa sahaja. Berniat umrah di Bir Ali tetapi tidak solat di sana kerana orang terlalu ramai. Takut kehilangan jamaah.

Berhenti untuk makan dan solat jamak takhir isya' dan Maghrib. Untuk ke tandas wanita lalu tandas dan tempat berwudhu' lelaki. Nampak bersih dan teratur. Ada rasa senang dalam hati. Tapi, bila masuk ke tandas wanita.... ish ish ish!!!!! Lantai pecah menyebabkan berpasir. Pasirnya seperti di padang pasir. Tandas pula seperti tidak pernah dibersihkan. Tahan nafas .....

Surau juga tidak bersih. Karpet berpasir. Hmmmmmppphhhh....

Perancangna awal ialah untuk bertawaf waktu tengahmalam. Memandangkan kami sampai lewat, Ustaz menyarankan supaya kami tawaf selepas sarapan. Alhamdulillah, dapatlah berihat. cuma hati ini meloinjak hendak menatap kaabah.

Solat Subuh berjamaah di tingkat B (basement).

Selepas sarapan, kami berkumpul di depan hotel. Berjalan beramai-ramai sambil bertalbiah menuju Masjidlharam.

Pertama kali menatap kaabah....

Tidak dapat hendak digambarkan dengan perkataan. Lambang kebesaran dan keagungan Allah SWT.Ia penuh sejarah, mula dibangunkan Nabi Ibrahim AS bersama malaikat. Merupakan bangunan yang pertama di muka bumi. Masyaallah!!!!

Tawaf kami agak dekat dengan Kaabah. Dapat melihat dengan jelas Maqam Ibrahim dan Hijr Ismail.



Kemudian saie. Tak dapat digambarkan bagaimana Siti Hajar berlari ulang alik antara Safa dan Marwa mencari air untuk anaknya Nabi Ismail AS. Kagum dengan zam zam yang tidak pernah kering.

Pulang ke hotel lepas saie dan keluar semula jam 11.30 untuk solat Dzohor. Makan tengahari selepas solat Dzohor. Jadi pulang semula ke hotel.

Solat Asar di hotel kerana agak kepenatan.

Badan mula rasa kurang sihat. Mungkin tak cukup rihat. Ada batuk dan selsema. Makan panadol. Mengantuk tidak terkata antara Maghrib dan Isya' di Masjidilharam. Berkali-kali ulang bacaan Quran.... Astaghfirullah....

Nampaknya kena rancang jadual pergi balik Masjidilharam. Perjalanan ulang alik beberapa kali sehari agak memenatkan. Hotel kami lebihkurang 300 meter dari Masjidilharam. Kami masuk melalui pintu Marwa dan perlu berjalan dalam 100 meter lagi untuk masuk ke dalam Masjidilharam.

Moga allah permudahkan segalanya, Ameen.


Kami berlima satu bilik.

Kak Salmah, kerani sekolah di SK Beserah, Pahang. Orangnya peramah, banyak celoteh. Kak Zah, jururawat pencen juga dari Beserah. Makcik Rosminah dari Kapar, Kelang. Sudah kematian suami. Datang bersama adik lelaki, Pakcik Hussin dan isteri. Pakcik Hussin sebilik dengan Zabri. Isteri Pakcik Hussin, Makcik Kamisah, juga rakan sebilik kami. Makcik Kamizah dan Makcik Rosminah sering berdua ke mana sahaja. Wajah mereka pun seperti adik beradik. Seperti tidak percaya apabila mereka mengatakan yang mereka adalah ipar. Pertama kali melihat mereka, aku fikir mereka adalah adik beradik.


Bersama Makcik Kamisah dan Makcik Rosminah di ladang unta

16 Oktober 2011, Ahad

HAPPY BIRTHDAY!!! My 46th... a huge number!!!

Zabri nak belanja makan tapi aku tak nak. Keluar juga menyusuri kedai-kedai. Tak ada tempat yang menyelerakan. Beli inai untuk anak-anak saudara perempuan.



Selepas solat Dzohor berdiri di pili zam zam. Mereka yang di hadapanku mengisi botol2 yang besar2. Makcik Arab yang berdiri di sebelahku mengangkat kening memberi isyarat dan geleng kepala sebab mereka ambil masa yang lama hendak mengisi botol2. Kataku kepada dia sambil tersenyum, Sabr.... Dia angguk juga tersenyum.

Beberapa ketika, dia mencelah masuk dan minum. Dia berpaling dan mengambil botol 500ml ku yang kosong dan dia isikan. Berkat SABAR.. alhamdulillah

Agak terlewat sedikit ke Masjidilharam untuk Maghrib dan Isya'. Tingkat bawah agak penuh. Aku dapat tempat betul2 di dinding di bawah telefon awam yang tersangkut di dinding.

Wirid lepas solat maghrib. Terdengar suara perempuan berkata dalam bahasa melayu, tolong paskan Quran ni, nak simpan. Aku toleh. Allahuakbar!!! Kak Zah!!! Aku terjerit kecil. Kami berpelukan. Jamaah di keliling kami senyum melihat kami. Mungkin mereka pun dapat meneka, pertemuan dua sahabat di Masjidilharam memang mengharukan. Airmata kami mengalir.

Kak Zah (Azizah Abdul Rahman) rakan serumah semasa undergrad kami di New Zealand antara tahun 1986-1988. Semasa tinggal serumah dulu kami (aku, Kak Zah dan Tam, seorang lagi teman rapat) ada berjanji untuk ke Makkah bersama. Dan di tahun 2011, ketiga2 kami dapat menunaikan haji walaupun berlainan package. Aku bersama CS Holidays, Kak Zah bersama Zahafis dan Tam bersama Tabung Haji. Aku keluarkan telefon hendak beritahu Tam tentang pertemuan kami. Ada sms dari Tam.... Ana, I jumpa Kak Zah kat Bindawood. Nanti kita janji jumpa. Masyaallah!!!! Kak Zah bertemu kami di hari yang sama!!! Allah mengabulkan doa kami untuk bertemu di Tanah Haram.

17 Oktober 2011, Isnin

Ziarah ke Jaaranah. Tidak diberitahu yang kami akan berziarah ke beberapa tempat. Semasa sarapan Ustaz hanya maklumkan untuk ke Jaaranah untuk niat umrah sunat.

Pertama, ke Jabal Thur, terletaknya gua Thur di mana Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar bersembunyi ketika peristiwa hijrah.



Kemudian kami ke dibawa ke Jabal Rahmah. Berdoa untuk kesejahteraan dan kemenangan di Jabal Rahmah kerana ianya salah satu tempat di mana doa adalah mustajab. Hmmm telah ada di masa2 lampau yang berdoa untuk beristeri lebih dari 1. Sukahatilah masing-masing punya kemahuan.

Kemudian bas membawa kami keliling Arafah. Sudah ada kelihatan khemah2 yang mula didirikan. Selain itu bas juga mengelilingi Muzdalifah dan Mina.Akhirnya kami dibawa ke Jabal Nur, tempat terletaknya Gua Hira' tempat Nabi SAW bermunajat dan melarikan diri dari hiruk pikuk jahiliah. Di Gua Hira' lah tempat surah Al-Quran pertama diturunkan seperti yang kita semua maklum.

Seperti Jabal Thur, Jabal Nur juga tinggi. Bagaimanalah keadaan Nabi SAW yang berjalan di padang pasir sejauh 7 km dari Makkah dan kemudian memanjat bukit yang tinggi??Aku yang berhadapan dengan suhu yang panas sahaja sudah tidak berdaya.

Sampai semula di hotel aku dan Zabri naik ke bilik. hendak berihat dulu sebelum tawaf dan saie. Badan sangat keletihan terutama kerana suhu panas. Kami solat Dzohor di hotel sahaja kerana masih kepenatan. Sebelum ke Masjdilharam untuk Asar aku makan panadol. Sempat tawaf dan saie 5 pusingan selepas Asar. Sambung 2 lagi pusingan selepas Maghrib. Alhamdulillah.