Thursday, February 4, 2010

salah siapa

Banyak gerai yang menjual pelbagai barang tumbuh macam cendawan di sekitar taman perumahan baik di kawasan bandar mahupun luar bandar. Kebanyakannya gerai makanan, minuman dan buah-buahan. Ada antara mereka yang “terpaksa” menukar haluan hidup kepada bidang perniagaan kecil-kecilan setelah hilang pekerjaan akibat cuaca ekonomi yang tidak tentu. Ada yang memang sudah berniaga dalam skil yang kecil begitu selama bertahun-tahun lamanya. Sebenarnya ada antara mereka ini boleh dikatakan berjaya juga. Contohnya mereka mampu membeli kenderaan yang diubahsuai untuk tujuan perniagaan. Biasanya lori kecil bersaiz setengah tan.

Namun keadaan gerai-gerai seperti ini sebenarnya mendatangkan masalah. Kakilima tempat mereka berniaga sebenarnya adalah kawasan “larangan”. Ini kerana kedudukan gerai boleh menganggu lalulintas apabila banyak kenderaan yang berhenti. Juga ia menyebabkan keadaan yang tidak selamat kepada aliran trafik. Akibatnya mereka ini sering disaman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, keadaan ini mendatangkan pemandangan tidak indah apabila keadaan gerai ada yang agak daif atau tidak kemas atau tidak bersih. Tempat membuang sampah yang tidak sempurna memburukkan lagi keadaan. Ketika lalu di hadapan mereka ini terasa seperti bukan berada di sebuah bandaraya. Ada kala terasa seperti tidak berada di negara Malaysia yang kita katakan “gah” di mata dunia. Ada kala terasa seperti berada di negara dunia ketiga.

Kenapa mereka ini masih terus berjuang mencari rezeki di kakilima jalan sedangkan banyak bangunan-bangunan rumah kedai didirikan? Malah ada antara gerai-gerai ini terletak di hadapan restoren di premis rumah kedai. Kenapa mereka ini tidak dapat berniaga di premis kedai dalam keadaan yang lebih sempurna? Kenapa mereka ini sanggup menghadapi risiko disaman dan dirampas “harta” perniagaan yang tidak seberapa?

Jawapannya amat mudah, mereka tidak mampu untuk menyewa apatah lagi membeli premis yang sempurna untuk perniagaan mereka. Sebagai menangani masalah ini, ada kerajaan negeri atau PBT yang membina tapak-tapak gerai untuk menempatkan mereka dan mengenakan kadar sewa yang rendah. Tetapi ada yang mengambil kesempatan pula bila diberi peluang yang begini. Ada yang telah diluluskan permohonan mereka untuk berniaga di tapak-tapak perniagaan begini, tetapi kemudian disewakan pula kepada orang lain dengan kadar yang lebih tinggi daripada yang dibayar kepada PBT atau kerajaan negeri. Mereka sekarang bergelar tuan kedai pula dan mengambil untung “atas angin”. Selain itu keadaan tapak-tapak perniagaan seperti ini kurang atau tiada seliaan langsung dan akibatnya setelah beberapa tahun keadaannya juga menjadi uzur dan menyebabkan pemandangan yang “tidak indah” kembali semula.

Apabila keadaan begini tidak pernah berubah selama berpuluh tahun, sudah tiba masanya kerajaan negeri bersama dengan PBT membuat perubahan di dalam menangani masalah ini. Membina tapak-tapak perniagaan untuk penggerai tidak patut dilakukan lagi memandangkan akan mengganggu pelan asal kawasan pekan atau bandar. Daripada membina bangunan atau premis lain, sebaiknya pihak berkuasa membeli sahaja rumah-rumah kedai yang telah siap dibina tetapi masih belum laku atau yang masih tidak beroperasi dan kemudian menyewakan kepada pengerai-penggerai ini. Mungkin sebuah unit kedai dikongsi oleh beberapa penggerai.Contohnya, sebuah unit kedai boleh menjadi seperti satu “mini food court” dengan jualan seperti nasi campur, nasi ayam, minuman, buah-buahan, burger, kuih-muih dan sebagainya. Sebenarnya masih terlalu banyak rumah-rumah kedai yang kosong walaupun di sekelilingnya taman-taman perumahan yang sudah penuh berpenghuni.

Namun perlaksanaannya mestilah lebih teliti dan dirancang dengan strategik. Masalah-masalah seperti bil air, elektrik dan selenggaraan mesti menjadi sebahagian dari perancangan strategik. Kawalan mesti dilakukan sepanjang masa untuk memastikan kebersihan dan “keindahan” kedai.

Jika ini dapat dilakukan dengan sistematik dan strategik, mungkin keadaan gerai-gerai yang melata yang ada kala menyakitkan mata memandang dapat dikurangkan ataupun dihapuskan sama sekali. Ini merupakan cabaran kepada kerajaan negeri dan PBT.

Monday, February 1, 2010

SETINGGAN DI MASJID NEGARA

Sedih bila membaca tentang ini. Pastinya mereka ini menghadapi kesusahan sehinggakan tidak mampu untuk menyewa rumah. Seperti yang terdapat di dada akhbar hari ini, ada yang telah diberhentikan kerja kerana penyakit, dan ada yang gajinya hanya cukup makan dan minum makanya tidak mampu untuk menyewa bilik di tengah kota yang serba mahal ini.

Tapi lebih menyedihkan lagi apabila persoalan ini ditolak ke tepi dan ke tengah. DBKL mengatakan ianya masalah JAWI. JAWI? Bukankah Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah pihak yang lebih tepat? Menyedihkan juga apabila JKM langsung tidak memberikan respon. Dari aspek ini rasanya lebih bertuah si penagih dadah sebab Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersedia untuk menahan penagih dadah yang bermalam di Masjid Negara. Jika ditahan sudah tentu ada tempat tinggal dan sumber makan dan minum walaupun hanya di pusat serenti.

Tapi kesedihan yang mengatasi segalanya ialah apabila pihak Masjid Negara langsung tidak memberikan tindakbalas atas masalah ini. Sepatutnya di sinilah masjid boleh memainkan peranan di dalam menghadapi masalah kemiskinan begini. Apalah salahnya jika pengurusan masjid mengumpulkan mereka ini dan menyelami masalah mereka. Gunakan dana masjid ataupun membuat kutipan dana untuk tujuan ini sahaja. Kita sebenarnya boleh mengambil contoh gereja-gereja di luar negara (dan mungkin juga dalam negara) dan juga beberapa buah masjid di Amerika Syarikat, di mana mereka menyediakan perlindungan untuk mereka yang “homeless” ini. Pada hari-hari tertentu, pihak gereja atau masjid ini akan menyediakan makanan untuk mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak berlapar untuk beberapa hari dalam seminggu.

Sebenarnya banyak yang boleh dilakukan oleh pihak masjid. Inilah salah satu cara masjid memainkan peranan sebagai “pelindung” terutama kepada umat Islam sendiri. Mungkin pihak masjid dapat menyediakan tempat tidur yang “ala kadar” supaya pemandangan “indah” masjid tidak dicemari.Apalah guna keindahan kalau hanya untuk ditatapi bukan dikecapi. Apalah guna keindahan kalau tidak semua lapisan masyarakat dapat menikmatinya terutama sekali umat Islam itu sendiri. Jika tidak mampu untuk menanganinya, pihak masjid perlu menyalurkan masalah ini kepada pihak yang tertentu bukan mendiamkan diri dengan masalah yang di depan mata.