Tuesday, March 31, 2009

GERAM DENGAN WATERBOSS - HAK PENGGUNA

Jurujual Waterboss sudah berkali-kali menelefon. Ceritanya kakak aku yang memasang water filter jenama tersebut di rumahnya diberikan voucher. Voucher untuk cuci tangki air itu boleh digunakan oleh siapa yang dipilihnya. Dan nama aku yang dia berikan. Ok lah, tak apalah. Kali pertama dia hendak datang, aku cancel appointment. Hari minggu itu aku rasa penat sangat, malas hendak melayan tetamu yang aku tak mahu undang, tapi meminta diri untuk diundang.

Setelah dua tiga kali telefon, dengan rasa terpaksa aku pun setuju untuk dia datang ke rumah pada hari minggu baru lalu, 29 Mac 2009. Dia mula hendak komen itu dan ini tentang kebersihan air di rumah aku. Aku dengan muka yang sengaja aku tunjukkan tidak suka, tidak melayan dia. Bila ada soalan yang malas aku nak jawab, aku pass pada suami ku. Ha ha ha, bagus ada suami. Boleh buat pass perkara-perkara yang kita sendiri malas nak layan.

Dia cuba hendak menerangkan tentang produk dia dan ajak aku duduk di meja makan. Aku dengan selamba mengatakan aku ni tak ada banyak masa terluang. Di waktu itu aku sedang melipat kain yang sudah 2,3 kali basuhan terbiar tidak terlipat dan tersimpan. Dia terpaksa duduk dekat aku yang sedang lipat kain. Aku pun layanlah seminimum yang boleh. Lepas tu aku tengok tak ada tanda2 dia nak pergi. Aku terkejut bila dia kata pembantunya (yang tadi mencuci tangki air) sedang memasang water filter itu di luar rumah. Aku katakan pada dia, aku tak mahu pasang lagi dalam masa terdekat ini. Aku berleter sambil katakan yang kami ni baru setahun pulang ke tanah air, ada banyak benda yang perlu kami utamakan dulu, rumah, kereta, pelajaran anak-anak, perniagaan suami. Water filter belum ada lagi dalam senarai priority.

Dia kata, tak apa, ini ialah one-week trial, kita tengok next week. Aku cakap dengan dia, minggu depan pun aku rasa kemungkinan besar aku tak nak. 2,3 kali aku kata begitu, 2,3 kali jugaklah dia katakan, tengok saja dulu minggu depan. Ok, allright, kalau itu yang dia nak. Kita tengok minggu depan.

Semalam berbual dengan suami tersayang, dia sebut, kalau harganya dimurahkan lagi, boleh lah kita teruskan. (Sebenarnya aku dah tanya teman sepejabat. Dia ada pasang jenama lain, harganya lebih murah RM400 dan dapat filter dalam rumah lagi). Aku geleng kepala keras. Aku cakap aku tak nak ambil produk dia. Aku sangat tak setuju dengan cara dia promote produk dia. Dari awal lagi dia cuma kata cuci tangki percuma, dia tidak kata pun akan terus pasang water filter tersebut. Dia yang berkali-kali mendesak untuk datang ke rumah. Aku lebih rela keliling kota mencari sendiri.

Aku paling tak suka dengan cara pemasaran yang tidak beretika begitu. Dahlah waktu terluang untuk kami sekeluarga terpaksa aku korbankan untuk dia. Kemudian gunakan cara memaksa macam tu. Semuanya ni kerana hadiah yang ditawarkan (macam multi level marketing). Memang betul-betul menyusahkan hidup aku di hujung minggu. Geram, geram dan gerammmmm!!!!!!

Tak apa, hari minggu ini aku akan bersedia untuk melaksanakan hak aku sebagai seorang pengguna

Saturday, March 28, 2009

HIDANGAN DRAMA MELAYU DI TV

Aku rasa drama-drama melayu di TV (dan rancangan-rancangan TV juga) seperti sudah kehilangan nilai-nilai kemelayuan. Atau apakah apa yang ditonjolkan sebenarnya nilai-nilai kemelayuan moden? Kalau ditanya pendapat aku, jawapannya ialah ianya nilai-nilai kemelayuan yang kebaratan. Bingung? Cakap kemelayuan tapi sebut kebaratan. Macamana tu?

Pertama sekali, pakaian (atau “dressing”). Berpinar rasanya mata ni melihat cara pelakon-pelakon wanitanya berpakaian. Sehingga nampak keseluruhan paha, begitu juga dengan bahu. Kalau bertutup pun, contohnya blouse/t-shirt dengan seluar panjang/jeans, masih ketat. Waduh, memanglah seronok kaum Adam menatap tayangan tubuh percuma begini. Adakah ini ciri-ciri pakaian orang melayu? Kalau nak moden pun janganlah sehingga pakaian pun terlalu berkiblatkan barat.

Wanita melayu biasanya dikaitkan dengan sopan santun. Macamana nak bersopan santun kalau dah berpakaian dedah paha dan dada? Sehingga ada scene di mana terpaksa di kaburkan (“blur”) bahagian pangkal paha yang terdedah dek terlalu singkatnya skirt yang dipakai oleh seorang pelakon wanita. Memanglah ini trend anak-anak muda sekarang. Tapi stesen TV ada tugas sosial. Salah satunya ialah mendidik masyarakat. Kalau ini yang selalu ditonjolkan, inilah yang akan jadi ikutan, terutamanya golongan anak-anak belasan tahun yang masih mencari-cari pegangan hidup sendiri. Inilah yang akan menjadi ikutan mereka.

Kedua, make-up. Bulu mata palsu, hingga gadis kampung pun dipakaikan bulu mata palsu. Seorang makcik, berkain batik dan berbaju kurung kedah, yang statusnya terang-terang seorang surirumah, bermake-up siap dengan gincu dan “eye-shadow”. Sedangkan scene nya hanyalah duduk di ruang tamu sebuah rumah papan, berbual-bual dengan anak terunanya dan suaminya. Di mana realitinya? Aku masih suka tengok Ogy Ahmad Daud berlakon dalam salah satu slot Cerekarama TV3 (lupa pulak tajuk dramanya). Seorang gadis kampung yang sudah lanjut usianya yang hidupnya untuk menjaga ibunya dan membahagiakan adiknya. Lakonannya masih real. Tidak ada make-up ketika dia di rumah atau di gerai menjual kuih dan nasi lemak.

Dalam soal make-up ini, aku nak tanya, berapa ramai wanita kota yang memakai bulu mata palsu ketika di rumah? Iyelah, jika tidak ke mana-mana di hujung minggu, atau di malam hari. Rasanya make-up seperti ini makin menjadi-jadi contohnya dalam slot akasia, lestari di TV3. Cuba ingat semula drama EZORA, SPA Q, KAU MILIKKU, banyak lagilah. Ada kala jalan ceritanya agak bagus (sebenarnya, tidak ada pun yang boleh dikatakan sangat baguspun) membuatkan aku mahu tahu kisah seterusnya. Tapi itulah, aku tidak dapat menghayatinya kerana setiap kali, ada sahaja komenku tentang perkara ini dan yang lain-lain. Pendek kata, tiada kepuasan menonton.

Ketiga, isu. Terlalu banyak isunya adalah kisah cinta. Hingga ada kisah cinta yang memualkan, watakyang tidak matang menghadapi cinta.Agaknya penulis skrip drama Melayu di Malaysia ini sudah ketandusan ide. Terlalu banyak temanya ialah cinta. Kisah cinta boleh diterapkan sebagai sampingan. Kalau kita perhatikan filem-filem barat pun, biasanya “romance” adalah isu selingan di dalam tema utama. Banyak-banyaklah menonton filem luar untuk dijadikan pedoman, tetapi bukan untuk meniru.

Keempat, menonjolkan golongan lelaki yang “lembut songsang”. Ini terminologi aku sendiri. Ada lelaki yang lembut tetapi lelaki sejati. Nalurinya sama seperti apa yang Allah telah tentukan. Yang “songsang” ini ialah yang sanggup bergadai bergolok membesarkan buah dada lah, bersolek lah, dan bermacam-macam lagi. Contohnya satu rancangan TV (kalau tak silap, NONA) yang menemuramah seorang ahli “paper dolls” yang begini, yang pekerjaannya ialah menghiburkan tetamu dengan lagak sebagai wanita. Bukankah sudah begitu terang, lelaki berperangai wanita dan wanita berperangai lelaki itu haram? Bukan sahaja itu adalah hukum asal agama Islam, tetapi ianya telah diwartakan di dalam fatwa persatuan ulama Malaysia. Kenapa stesen TV tersebut tidak langsung sensitif dengan fatwa ini? Sepatutnya stesen TV yang ditontoni ramai MESTI menyokong fatwa ini dan MESTI diterjemahkan di dalam rancangan-rancangan TV mereka. SEPATUTNYA stesen-stesen TV tidak menonjolkan mereka.

Kelima, daya intelek/kecerdikan pelakon (dan pengarah). Bukanlah aku bermaksud yang pelakon dan pengarah mesti ada ijazah atau diploma. Ijazah dan diploma bukan ukuran daya intelek seseorang. (Bill Gates pun tidak ada diploma) Tapi tolonglah buat sedikit kajian. Dalam sebuah drama bersiri yang masih berjalan sekarang ini, dalam episod minggu lepas, pelakon wanita utamanya salah sebut perkataan “paradigm”. Sepatutnya ia dibunyikan seperti begini “paradaim” (“g” tidak dibunyikan atau “silent”). Tetapi pelakon tersebut menyebutnya begini, “paradigem”. Aku ketawa besar kerana terserlahnya “ketidakcerdikan” pelakon dan pengarahnya.

Inilah antara sebab-sebabnya aku banyak berleter depan kaca TV. Sehinggakan tidak dapat menghayati apa yang dipaparkan di TV. Banyak yang hilang realiti dan juga tidak mencabar minda.

Monday, March 23, 2009

Simpatiku Untuk Mereka

Semalam aku membaca sebuah artikel dari sebuah blog yang memang aku ikuti. Ada airmata yang bertakung di birai mata. Kisahnya tentang sebuah keluarga yang berasal dari keturunan baik-baik. Tetapi dek kerana kerakusan manusia yang tidak mengenal dosa dan pahala, yang mementingkan kuasa dan harta, mereka tertindas. Perniagaan buat menyara keluarga habis lingkup, punah ranah. Akhirnya dia sebagai ketua keluarga terpaksa menjaja kuih dan nasi lemak hasil siisteri.

Sebenarnya aku agak mengagumi dia. Pendiriannya begitu teguh tidak dapat di anjakkan walau sedikit pun. Aku dapat merasakan keikhlasan dan kejujuran jiwanya menjalani kehidupan di dunia Allah ini. Terasa kecil diri ini dibandingkan dengan dia. Diri ini yang masih lagi meladeni perkara-perkara remeh.

Aku sadari bukan dia seorang sahaja yang begitu. Masih ada lagi insan-insan sepertinya di luar sana. Malah ada antaranya aku kenali sendiri. Seorang ahli keluargaku sendiri pernah diletak di balik jeriji besi atas nama pengganas. Sedangkan yang dia perjuangkan hanyalah agama yang dicintainya. Perniagaannya juga punah menyebabkan siisteri terpaksa bertungkus lumus mengelilingi kota demi menyuap mulut 7 zuriat yang masih kecil. Semua itu membuat aku terus merenung akan takdir Allah.

Ya Allah lindungilah orang-orang sepertinya......

Sunday, March 22, 2009

Sewel

Entah apa nak diletak sebagai title posting kali ni. Kerja banyak, sampai boleh jadi sewel ha ha ha.

Minggu lepas habis saja kuliah di pagi Jumaat, aku singgah di pejabat kawan baik. Dia berdua dalam pejabatnya. Sesekali berpeluang berjumpa, walaupun satu bangunan. Inilah akibat sibuk. Itulah, macamlah tak cukup dgn kerja hakiki. Dicari benda lain untuk menyibukkan diri, organise seminarlah, buat research lah, padan dengan muka.
Sebaik saja aku menghenyakkan duduk, sahabatku ini bertanya, "dari mana hendak ke mana?" Ewah, macam berpantun pulak. Aku pun dengan selamba menjawab, "Baru sahaja selesai kuliah, singgah sebentar ke bilik Lon dan Lela," (nama 2 orang rakan aku)
Lon ketawa, "Hai macam berbalas pantun pulak." Aku jawab, "Memanglah nak berbalas pantun ni."

"pantun dua kerat aje?" Tanyanya, aku ketawa. Belum sempat aku membalas kata-katanya, Lon melawa aku untuk makan tengahari bersama.

"Haaa dengar keseluruhan pantun aku hari ini," aku menyambung gurauanku.

"Baru sahaja selesai kuliah,
singgah sebentar ke bilik Lon dan lela,
Tak dapatlah aku nak bersama makan tengahari,
Kerana fikiran sesak dek kerja yang banyak"

Riuh tingkat 14 bangunan menara tengahari itu dengan ketawa mereka yang mendengar pantun aku yang langsung tiada iramanya.

"Sahlah engkau ni tengah serabut kepala otak," komen Lon dalam ketawa.
Memang betul. Ha ha ha aku tak tau apa yang hendak aku lakukan. Sebenarnya dalam dua minggu yang lalu aku rasa seperti tidak tentu hala tuju pekerjaan harianku. Aku yang memang terkenal sebagai seorang yang tahu menyusun kerja dengan teliti, akhirnya "kantoi" (meminjam kata bebudak sekarang)

Memang benarlah, "If you fail to plan, you actually plan to fail"

Oleh sebab itu, pada hari itu aku menjamu selera seadanya di hadapan monitor komputer......... membetulkan arah tujuan diari harianku.