Saturday, March 28, 2009

HIDANGAN DRAMA MELAYU DI TV

Aku rasa drama-drama melayu di TV (dan rancangan-rancangan TV juga) seperti sudah kehilangan nilai-nilai kemelayuan. Atau apakah apa yang ditonjolkan sebenarnya nilai-nilai kemelayuan moden? Kalau ditanya pendapat aku, jawapannya ialah ianya nilai-nilai kemelayuan yang kebaratan. Bingung? Cakap kemelayuan tapi sebut kebaratan. Macamana tu?

Pertama sekali, pakaian (atau “dressing”). Berpinar rasanya mata ni melihat cara pelakon-pelakon wanitanya berpakaian. Sehingga nampak keseluruhan paha, begitu juga dengan bahu. Kalau bertutup pun, contohnya blouse/t-shirt dengan seluar panjang/jeans, masih ketat. Waduh, memanglah seronok kaum Adam menatap tayangan tubuh percuma begini. Adakah ini ciri-ciri pakaian orang melayu? Kalau nak moden pun janganlah sehingga pakaian pun terlalu berkiblatkan barat.

Wanita melayu biasanya dikaitkan dengan sopan santun. Macamana nak bersopan santun kalau dah berpakaian dedah paha dan dada? Sehingga ada scene di mana terpaksa di kaburkan (“blur”) bahagian pangkal paha yang terdedah dek terlalu singkatnya skirt yang dipakai oleh seorang pelakon wanita. Memanglah ini trend anak-anak muda sekarang. Tapi stesen TV ada tugas sosial. Salah satunya ialah mendidik masyarakat. Kalau ini yang selalu ditonjolkan, inilah yang akan jadi ikutan, terutamanya golongan anak-anak belasan tahun yang masih mencari-cari pegangan hidup sendiri. Inilah yang akan menjadi ikutan mereka.

Kedua, make-up. Bulu mata palsu, hingga gadis kampung pun dipakaikan bulu mata palsu. Seorang makcik, berkain batik dan berbaju kurung kedah, yang statusnya terang-terang seorang surirumah, bermake-up siap dengan gincu dan “eye-shadow”. Sedangkan scene nya hanyalah duduk di ruang tamu sebuah rumah papan, berbual-bual dengan anak terunanya dan suaminya. Di mana realitinya? Aku masih suka tengok Ogy Ahmad Daud berlakon dalam salah satu slot Cerekarama TV3 (lupa pulak tajuk dramanya). Seorang gadis kampung yang sudah lanjut usianya yang hidupnya untuk menjaga ibunya dan membahagiakan adiknya. Lakonannya masih real. Tidak ada make-up ketika dia di rumah atau di gerai menjual kuih dan nasi lemak.

Dalam soal make-up ini, aku nak tanya, berapa ramai wanita kota yang memakai bulu mata palsu ketika di rumah? Iyelah, jika tidak ke mana-mana di hujung minggu, atau di malam hari. Rasanya make-up seperti ini makin menjadi-jadi contohnya dalam slot akasia, lestari di TV3. Cuba ingat semula drama EZORA, SPA Q, KAU MILIKKU, banyak lagilah. Ada kala jalan ceritanya agak bagus (sebenarnya, tidak ada pun yang boleh dikatakan sangat baguspun) membuatkan aku mahu tahu kisah seterusnya. Tapi itulah, aku tidak dapat menghayatinya kerana setiap kali, ada sahaja komenku tentang perkara ini dan yang lain-lain. Pendek kata, tiada kepuasan menonton.

Ketiga, isu. Terlalu banyak isunya adalah kisah cinta. Hingga ada kisah cinta yang memualkan, watakyang tidak matang menghadapi cinta.Agaknya penulis skrip drama Melayu di Malaysia ini sudah ketandusan ide. Terlalu banyak temanya ialah cinta. Kisah cinta boleh diterapkan sebagai sampingan. Kalau kita perhatikan filem-filem barat pun, biasanya “romance” adalah isu selingan di dalam tema utama. Banyak-banyaklah menonton filem luar untuk dijadikan pedoman, tetapi bukan untuk meniru.

Keempat, menonjolkan golongan lelaki yang “lembut songsang”. Ini terminologi aku sendiri. Ada lelaki yang lembut tetapi lelaki sejati. Nalurinya sama seperti apa yang Allah telah tentukan. Yang “songsang” ini ialah yang sanggup bergadai bergolok membesarkan buah dada lah, bersolek lah, dan bermacam-macam lagi. Contohnya satu rancangan TV (kalau tak silap, NONA) yang menemuramah seorang ahli “paper dolls” yang begini, yang pekerjaannya ialah menghiburkan tetamu dengan lagak sebagai wanita. Bukankah sudah begitu terang, lelaki berperangai wanita dan wanita berperangai lelaki itu haram? Bukan sahaja itu adalah hukum asal agama Islam, tetapi ianya telah diwartakan di dalam fatwa persatuan ulama Malaysia. Kenapa stesen TV tersebut tidak langsung sensitif dengan fatwa ini? Sepatutnya stesen TV yang ditontoni ramai MESTI menyokong fatwa ini dan MESTI diterjemahkan di dalam rancangan-rancangan TV mereka. SEPATUTNYA stesen-stesen TV tidak menonjolkan mereka.

Kelima, daya intelek/kecerdikan pelakon (dan pengarah). Bukanlah aku bermaksud yang pelakon dan pengarah mesti ada ijazah atau diploma. Ijazah dan diploma bukan ukuran daya intelek seseorang. (Bill Gates pun tidak ada diploma) Tapi tolonglah buat sedikit kajian. Dalam sebuah drama bersiri yang masih berjalan sekarang ini, dalam episod minggu lepas, pelakon wanita utamanya salah sebut perkataan “paradigm”. Sepatutnya ia dibunyikan seperti begini “paradaim” (“g” tidak dibunyikan atau “silent”). Tetapi pelakon tersebut menyebutnya begini, “paradigem”. Aku ketawa besar kerana terserlahnya “ketidakcerdikan” pelakon dan pengarahnya.

Inilah antara sebab-sebabnya aku banyak berleter depan kaca TV. Sehinggakan tidak dapat menghayati apa yang dipaparkan di TV. Banyak yang hilang realiti dan juga tidak mencabar minda.

No comments: