Sabtu, 6 Disember 2008, ada jemputan ke Tanjung Karang. Tanjung Karang tempat suamiku dibesarkan walaupun dia dilahirkan di pantai timur sebenarnya. Teman suami mengadakan kenduri, anaknya berkhatan. Keluarga teman suamiku yang ini sudah seperti keluarga sendiri. Mengikut cerita mereka, rumah mereka bagai rumah kedua suamiku. Makan, minum, tidur tak kira waktu, selalu sahaja di rumah itu.
Kali akhir kami ke sana ialah aidil fitri baru lalu, menziarahi teman dan jiran lama suami. Kedatangan kami disambut meriah. Sebenarnya meriah kerana menyambut suamiku. Iyelah ada antara mereka yang bertahun-tahun tidak berjumpa dengan suamiku. Masing-masing galak mengusik. Ada yang kali akhir bertemu semasa lepas sekolah, atau selepas pernikahan kami. Riuh rendah di bawah khemah dengan gelak tawa kami dan mereka. Aku tahu suami ku senyum dan ketawa bukan sahaja di bibir tetapi di dalam hati juga. Terbayang kegembiraan di wajahnya bertemu dengan ahli keluarga angkatnya.
Sebelum pulang, kami naik ke rumah, menziarahi bapa angkat. Orang tua itu sudah hilang sebelah kaki akibat kencing manis. Walau hilang kaki, dia tidak hilang lidah. Bicaranya banyak seperti dulu, tidak berubah. Macam-macam yang dibicarakan, soal politik, ekonomi, berita dalam negara, luar negara. Memang tak padan dengan dirinya seorang petani. Fikriannya luas. Mindanya tajam. Seperti biasa, aku akan duduk di depannya dan mendengar celotehnya. Dan seperti biasa suamiku hanya tersenyum.
Tiba masa untuk meminta diri, ada pilu di wajah orang tua berdua itu. Berkali-kali emak angkat suami berkata, "Terima kasih sudi datang. Terima kasih masih ingat kami lagi." Aku sungguh-sungguh terharu. Sebenarnya, setiap kali menziarahi mereka, aku rasa begitu puas. Sukar untuk aku gambarkan, tapi perasaan aku begitu penuh dengan rasa bahagia. Dengan mereka, segala-galanya teramat tulus. Walaupun mengenali mereka hanya selepas berkahwin dengan suamiku, aku rasa sungguh dekat dengan mereka.